Niaga Hadapan FBM KLCI Dijangka Diniagakan Dalam Dagangan Berhati-hati Minggu Depan

Oleh Zarul Effendi Razali and Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dalam dagangan berhati-hati minggu depan seiring dengan prestasi di pasaran tunai pendasar.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng menjangkakan indeks penanda aras utama diniagakan dalam jajaran 1,530 hingga 1,560 mata.

"Indeks petunjuk pasaran telah keluar daripada fasa penstabilannya dengan jumlah dagangan yang tinggi dan bergerak ke arah aliran yang lebih kukuh," katanya kepada Bernama.

Bagi asas mingguan, kontrak Julai 2025 meningkat 19.5 mata kepada 1,549.50, manakala kontrak September 2025 dan Disember 2025 menambah 18 mata masing-masing pada 1,528.50 dan 1,527.50.

Kontrak Ogos 2025 yang baru diperkenalkan berjumlah 1,547.50.

Jumlah dagangan bagi minggu yang baru berakhir ini turun kepada 34,314 lot daripada 163,175 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka susut kepada 34,783 kontrak daripada 64,676 kontrak.

FBM KLCI mengakhiri minggu ini dengan ditutup tinggi, meningkat 22.03 mata kepada 1,550.19 daripada 1,528.16 pada minggu sebelumnya.

-- BERNAMA