Malaysia Alu-alukan Ketibaan Kapal Persiaran China Hasil Perkongsian Hwajing-Astro Ocean
GEORGE TOWN, 4 Julai (Bernama) -- Malaysia bersedia untuk menyambut ketibaan kapal pelayaran China yang pertama berpengkalan di negara ini dengan kehadiran M/V Piano Land, hasil perkongsian strategik antara Hwajing Travel & Tours Sdn Bhd dan syarikat pelayaran China Astro Ocean Cruise.
Pengarah Urusan Hwajing Kenny Cheong berkata kapal itu yang dikendalikan oleh Astro Ocean Cruise, akan memulakan pelayaran sulungnya pada 30 November, 2025 dan menawarkan dua pilihan jadual pelayaran — laluan tiga hari dua malam (Pulau Pinang–Pelabuhan Klang–Pulau Pinang) dan laluan empat hari tiga malam merangkumi Pulau Pinang, Langkawi dan Pelabuhan Klang.
Beliau berkata pelayaran itu dijangka dapat meningkatkan kebolehcapaian untuk pelancong domestik dan serantau, selaras dengan usaha untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pelancongan kapal persiaran terkemuka di Asia Tenggara.
“Kami sedang menguji pasaran Malaysia melalui tujuh pelayaran awal ini dan berdasarkan sambutan daripada laluan-laluan itu, kami akan membuat pengumuman lanjut menjelang akhir tahun,” katanya pada sidang media di sini hari ini, selepas menandatangani memorandum perjanjian dengan Naib Presiden Astro Ocean Cruise Jian-feng Tong untuk membawa M/V Piano Land ke Malaysia.
M/V Piano Land yang mampu memuatkan 1,760 penumpang, bersedia untuk mempertingkatkan pengalaman pelancongan kapal persiaran di Malaysia melalui pelbagai kemudahan dan perkhidmatan yang disesuaikan untuk pelbagai jenis pelancong, termasuk persembahan teater gaya Broadway, kelab kanak-kanak khas, arked beli-belah, pusat kesejahteraan dan pelbagai kemudahan rekreasi di atas kapal.
Kapal pelayaran itu memiliki 880 kabin yang serba lengkap bersama pelbagai pilihan sajian kulinari merangkumi hidangan halal yang meluas DAN pilihan masakan Cina dan antarabangsa.
Sementara itu, Hwajing turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) bagi mempromosikan Terminal Kapal Persiaran Swettenham Pier (SPCT) sebagai pelabuhan pangkalan khusus untuk kapal persiaran pada 2025 hingga 2027.
Pengerusi PPC Datuk Yeoh Soon Hin berkata susulan pemeteraian MoU itu, SPCT akan dapat meraih lebih banyak keterlihatan dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
“Dengan infrastruktur modennya, kemudahan bertaraf antarabangsa dan lokasi strategik di Bandar Warisan Dunia UNESCO George Town, SPCT mempunyai kelebihan tersendiri untuk menarik kapal persiaran utama dan berperanan sebagai pelabuhan pilihan untuk dijadikan pangkalan di Asia Tenggara.
“Kami percaya bahawa pakatan strategik ini akan mempercepatkan usaha untuk memasarkan tawaran pelancongan kapal persiaran di Pulau Pinang ke peringkat global, memangkin pembangunan pelancongan dan membawa manfaat jangka panjang kepada ekonomi dan komuniti setempat,” tambahnya.
-- BERNAMA