BERITA TERKINI   Jumlah rizab LTAT meningkat 29.1 peratus tahun ke tahun kepada RM1.31 bilion berbanding RM1.01 bilion pada tahun kewangan 2024 | LTAT catat RM749.49 juta dalam pendapatan pelaburan bagi tahun kewangan 2025, keuntungan boleh agih berjumlah RM541.56 juta. | LTAT isytihar dividen 5.35 peratus, RM524.74 juta bagi tahun kewangan 2025, tertinggi dalam tempoh lapan tahun | Ekonomi Malaysia masih menunjukkan daya tahan yang kukuh walaupun berdepan cabaran geopolitik global - Akmal Nasrullah | Konflik Asia Barat dipantau secara menyeluruh dari sudut makroekonomi, termasuk menilai kesannya terhadap inflasi, rantaian bekalan dan kos logistik - Akmal Nasrullah | 

PM Anwar Adakan Pertemuan Dengan Pemimpin Tertinggi Perancis Sempena Lawatan Rasmi

PARIS, 4 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan pertemuan dengan dua pemimpin tertinggi Perancis pada hari kedua lawatan rasminya ke negara itu, hari ini.

Anwar yang tiba di sini semalam, dijadual mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya, Francois Bayrou, pada sebelah pagi. Terdahulu, beliau diberi sambutan rasmi penuh istiadat oleh kerajaan Perancis di Hôtel des Invalides.

“Menerima sambutan rasmi penuh istiadat daripada Kerajaan Perancis, satu penghormatan tinggi yang mencerminkan keakraban dan saling menghormati dalam hubungan diplomatik antara Malaysia dan Perancis yang sekian lama terjalin.

“Dalam menghadapi landskap global yang semakin kompleks, Malaysia terus komited untuk bekerjasama dengan rakan seperti Perancis dalam memperjuangkan multilateralisme, memperkukuh keamanan dan kestabilan, serta membina masa depan yang lebih adil dan lestari untuk semua,” kata Perdana Menteri.

Pada sebelah petang, Anwar dijadual mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden Emmanuel Macron di Istana Élysée. Antara agenda utama yang bakal dibincangkan termasuk perdagangan, pelaburan, tenaga boleh baharu, semikonduktor, pertahanan, pendidikan, ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI).

Kedua-dua pemimpin turut dijangka menyentuh isu krisis di Asia Barat, khususnya krisis kemanusiaan di Gaza.

Perdana Menteri juga akan menunaikan solat Jumaat bersama pemimpin komuniti Muslim tempatan di Masjid Besar Paris, sebuah daripada masjid tertua di Perancis.

Bagi memperkukuh hubungan dua hala, Perdana Menteri akan menyampaikan syarahan bertajuk ‘Southeast Asia and Europe: Recalibrating the Terms of Engagement’ di Sorbonne University, sebuah institusi berprestij yang terkenal di peringkat antarabangsa dalam bidang intelektual dan kebudayaan.

Delegasi Anwar turut disertai Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Turut mengiringi Perdana Menteri ialah Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Sebagai sebahagian daripada usaha menarik pelaburan global, khususnya dari Perancis, Anwar turut dijadual menghadiri mesyuarat meja bulat bersama pemimpin industri utama negara itu. Antara syarikat yang terlibat ialah Imerys, Arkema, Airbus dan Thales.

Perancis kekal sebagai antara lima rakan dagang utama Malaysia dalam kalangan negara Kesatuan Eropah. Pada 2024, jumlah dagangan dua hala mencecah RM15.95 bilion (AS$3.63 bilion), dengan RM6.26 bilion (AS$1.49 bilion) direkodkan bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini.

Selepas lawatan kerja di Perancis, Anwar akan berlepas ke Brazil bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS dari 5 hingga 7 Julai.

-- BERNAMA