BERITA TERKINI   MOT laksana larangan pemanduan kenderaan barangan dan logistik mulai 19, 20, 28 dan 29 Mac sempena Aidilfitri | Harga minyak mentah global kini melebihi US$100 setong, Kerajaan kekal RON95 bersubsidi RM1.99 seliter - Kementerian Kewangan | Gas Malaysia akan bangunkan terminal LNG Yan selepas kelulusan Suruhanjaya Tenaga | Ringgit meningkat kepada 3.9145/9205 berbanding dolar AS semasa ditutup hari ini, daripada 3.9155/9200 pada Selasa | Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat di Pulau Pinang adalah persinggahan sementara bagi urusan logistik- Khaled Nordin | 

JS-SEZ Berupaya Tingkatkan Bahagian Johor Dalam KDNK Negara Lebih 12 Peratus

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka melonjakkan bahagian Johor dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara melebihi 12 peratus menjelang 2023, sekiranya pelaburan yang dirancang menjadi kenyataan mengikut pelan, kata CIMB Investment Bank Bhd.

Dalam satu nota penyelidikan, bank pelaburan itu berkata JS-SEZ berpotensi menyumbang RM117.1 bilion kepada KDNK negara menjelang 2030, mewakili purata kenaikan tahunan sebanyak RM19.5 bilion — bersamaan dengan 0.6–1.0 peratus daripada KDNK setahun dari 2025 hingga 2030.

Bagi mencapai sasaran itu, ia memerlukan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sekitar 8.4 peratus setahun, lebih dua kali ganda kadar pertumbuhan 3.8 peratus setahun yang dicatatkan sepanjang 2016–2023, katanya.

"Anggaran ini mengambil kira pertumbuhan yang stabil dan kadar pertumbuhan KDNK negara sebanyak 6.0 peratus.

"Pemacu utama pertumbuhan termasuk peningkatan pelaburan domestik dan asing dalam sektor-sektor seperti logistik, penjagaan kesihatan, pelancongan dan ekonomi digital, serta mobiliti tenaga kerja yang dipertingkatkan, kemudahan perdagangan rentas sempadan yang lebih baik dan penambahbaikan infrastruktur utama," katanya.

Momentum pelaburan Johor telah melonjak pada suku pertama 2025 (S1 2025), dengan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM30.1 bilion, didorong oleh inisiatif JS-SEZ dan pembaharuan yang pro perniagaan.

Singapura merupakan pelabur terbesar pada suku pertama 2025 dengan 65 projek bernilai RM28.3 bilion dalam pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan, mengatasi pesaing lain seperti Amerika Syarikat (RM9.9 bilion) dan China (RM7.9 bilion).

Pelaburan ini dijangka menjana 33,000 peluang pekerjaan baharu dan meletakkan Johor di landasan yang betul untuk mengatasi rekod pelaburan yang diluluskan pada 2024 sebanyak RM48.5 bilion dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi kini menyasarkan jumlah pelaburan diluluskan antara RM60 bilion hingga RM100 bilion bagi 2025.

Menurut CIMB Investment, fokus pelabur akan tertumpu kepada zon-zon utama seperti Forest City dan Sedenak, yang dipacu oleh sektor-sektor pusat data, elektrik dan elektronik, kenderaan elektrik dan logistik.

“Pelan tindakan JS-SEZ dengan jelas menggariskan keutamaan sektor kepada zon-zon yang ditetapkan, memastikan pembangunan terfokus dan pengelompokan ekosistem.

"Pelaksanaan projek-projek ini akan menjadikan Johor sebagai enjin ekonomi yang pelbagai dan terhubung secara global menjelang 2030,” katanya.

CIMB Investment menambah JS-SEZ juga dijangka mengukuhkan koridor ekonomi Johor-Singapura, membolehkan model bandar berkembar yang serupa dengan Shenzhen-Hong Kong.

"Johor menawarkan skala, tanah dan buruh, manakala Singapura membawa modal, kewangan dan rangkaian global. Penyepaduan mereka mewujudkan destinasi yang menarik dan kos efektif untuk pelabur global, dengan operasi yang lancar merentasi kedua-dua bidang kuasa," katanya.

-- BERNAMA