Tarif: Respons Positif Dari AS Terhadap Pendekatan Malaysia - Amir Hamzah
Oleh Anas Abu Hassan
KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Amerika Syarikat (AS) telah memberi respons secara positif terhadap pendekatan dan libat urus Malaysia dalam isu dan cadangan tarif, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata libat urus dan pendekatan proaktif Malaysia dengan AS adalah untuk memahami isu-isu yang terlibat dan bekerjasama untuk mencari jalan bagi menghasilkan situasi menang-menang.
AS bersikap positif terhadap pendekatan Malaysia, pasukan perdagangan dari kedua-dua pihak membincangkan cara untuk melangkah ke hadapan, katanya.
"Kedua-dua pasukan mengadakan perbincangan produktif dan rundingan...ada kemajuan telah tercapai" katanya semasa sesi perbincangan tidak formal (fireside chat) pada Persidangan Invest ASEAN-Malaysia 2025. hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Fad'l Mohamed menjadi moderator sesi perbincangan tersebut.
Amir Hamzah berkata Malaysia sentiasa bersikap ‘tidak melawan’. Ia mahu bekerjasama dengan AS untuk mencari jalan meningkatkan perdagangan bagi kedua-dua pihak.
Beliau berkata defisit perdagangan antara Malaysia dan AS terdiri daripada komponen utama seperti industri elektronik dan semikonduktor.
“Banyak syarikat multinasional berpangkalan di AS mengeksport ke AS dan Malaysia gembira apabila AS mengecualikan tarif untuk sektor semikonduktor, ia mengakui bahawa semikonduktor adalah aset kritikal yang mahu mereka lindungi.
"Tetapi bagi Malaysia, ia penting kerana ia menunjukkan bahawa Malaysia dan AS saling memerlukan," katanya.
Beliau berkata Malaysia menekankan kepada AS dalam rundingan bahawa rantaian bekalan global berkait (saling bergantung antara satu sama lain) secara menyeluruh dan sukar untuk dipisahkan tanpa memberi kesan yang ketara.
-- BERNAMA