BERITA TERKINI   UMNO akan mula hantar saman terhadap pihak yang menyebarkan fitnah ke atas pimpinan parti itu — Setiausaha Agung | YAPEIM belanjakan RM13.5 juta laksanakan 293 projek bina baharu, baik pulih kediaman golongan asnaf seluruh negara sejak 2020 - Mohd Na'im | 

Insentif Pengeluaran Getah Diaktifkan Bagi Jun 2025

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Insentif Pengeluaran Getah (IPG) bagi getah cuplump (sekerap) dan lateks telah diaktifkan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak bagi Jun 2025, kata Lembaga Getah Malaysia (LGM).

LGM dalam satu kenyataan hari ini berkata IPG akan diaktifkan sekiranya harga purata bulanan peringkat ladang bagi getah cuplump berada di paras RM3.00 sekilogram ke bawah.

IPG lateks juga akan teraktif apabila IPG getah cuplump teraktif.

Pada Jun 2025, harga purata ladang bagi cuplump ialah RM2.80 sekilogram untuk Semenanjung Malaysia dan RM2.50 sekilogram untuk Sabah dan Sarawak.

“Kadar IPG bagi lateks ditetapkan pada 90 sen sekilogram bagi lateks dengan 100 peratus kandungan getah kering (DRC),” kata LGM.

Kadar IPG diaktifkan untuk cuplump dan lateks di Semenanjung Malaysia ialah 20 sen untuk 50 peratus DRC dan 40 sen sekilogram untuk 100 peratus DRC.

Sementara itu, kadar di Sabah dan Sarawak ialah 50 sen sekilogram untuk 50 peratus DRC dan RM1 sekilogram untuk 100 peratus DRC.

LGM berkata, pekebun kecil di Semenanjung, Sabah dan Sarawak layak menerima bayaran IPG mulai 1 hingga 31 Julai 2025 berdasarkan pengeluaran getah pada bulan Jun 2025.

--BERNAMA