BERITA TERKINI   Empat pelajar sekolah di Machang cedera parah dalam kemalangan jalan raya pagi tadi - Polis | KWAP umum pelantikan Datuk Jay Khairil Jeremy Abdullah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif berkuat kuasa 20 Mei 2026 |  Malaysia mahu OEM bekerjasama dengan vendor tempatan untuk meningkatkan seluruh rantaian nilai dan ekosistem melalui dasar EV baharu - Sim Tze Tzin  | 13 Ahli Dewan Negara termasuk enam lantikan baharu angkat sumpah sebagai senator hari ini | Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dan Datuk Norliza Tajudin mengaku tidak bersalah pecah amanah RM10.55 juta | 

TPM Fadillah Pelawa Lebih Banyak Syarikat, Pelabur Uzbekistan Teroka Pasaran Malaysia

 

Daripada Siti Radziah Hamzah

TASHKENT, 24 Jun (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini mempelawa lebih banyak syarikat dan pelabur Uzbekistan untuk meneroka ke pasaran Malaysia.

Beliau berkata selaku Pengerusi ASEAN 2025 Malaysia bersedia untuk menjadi sebagai hab strategik bagi perniagaan yang ingin berkembang di seluruh Asia Tenggara, rantau dinamik yang sedang berkembang pesat.

Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata kerajaan Malaysia komited sepenuhnya untuk memupuk kerjasama sektor swasta yang lebih kukuh, khususnya dalam bidang yang memberi manfaat bersama dan penyelarasan strategik.

Begitu juga, katanya, sumber asli yang melimpah dan kedudukan geografi Uzbekistan telah menjadikan negara itu sebagai destinasi menarik untuk pelaburan Malaysia dalam sektor seperti perlombongan, pertanian, logistik dan pembangunan perindustrian.

"Kekuatan Malaysia dalam pembuatan bernilai tinggi, ekonomi digital dan teknologi hijau menyediakan peluang besar untuk kerjasama dengan Uzbekistan, khususnya dalam bidang elektronik, tenaga boleh baharu dan infrastruktur pintar," katanya menerusi ucapan perasmian beliau pada Forum Perniagaan Malaysia-Uzbekistan 2025.

Fadillah berkata syarikat Malaysia turut menyedari potensi pasaran Uzbekistan, dengan pelaburan dan minat yang semakin meningkat dalam sektor seperti tenaga, infrastruktur dan pendidikan.

"Usaha ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan ekonomi dua hala antara kedua-dua negara tetapi juga menyumbang kepada perhubungan serantau yang lebih meluuas dan berkongsi kemakmuran," katanya.

Menurutnya, perdagangan antara Malaysia dan Uzbekistan masih sederhana walaupun pada trajektori yang positif.

“Perdagangan (antara kedua-dua negara) meningkat daripada US$58.4 juta pada 2020 kepada US$80.9 juta pada 2024. (US$1=RM4.28)

“Eksport Malaysia, bernilai US$79.9 juta, termasuk produk seperti minyak sawit, barangan makanan, komponen elektronik dan farmaseutikal yang mencerminkan peningkatan kepelbagaian barangan dagangan,” katanya. 

Forum Perniagaan Malaysia-Uzbekistan 2025 itu dianjurkan bersama oleh Perikatan Perniagaan Malaysia-Uzbekistan (MUBA) dan Kementerian Perindustrian dan Perdagangan Republik Uzbekistan (MIIT).

-- BERNAMA