Kerajaan Serah Tawaran Di Bawah Kerjasama Strategik Dengan Arm Limited Kepada Tiga Syarikat Tempatan - Akmal
PUTRAJAYA, 11 Mei (Bernama) -- Kerajaan menyerahkan tawaran di bawah kerjasama strategik antara kerajaan Malaysia dan Arm Limited kepada tiga syarikat tempatan sebagai langkah penting untuk memperkukuh keupayaan negara dalam reka bentuk litar bersepadu (IC).
Sebanyak empat token, termasuk Arm CSS (Compute Subsystems) dan Arm Flexible Access (AFA), diluluskan kepada Great Asic Technology Sdn Bh, SkyeChip Bhd dan Oppstar Technology Sdn Bhd.
Tawaran ini membuka akses kepada platform pengkomputeran dan portfolio harta intelek (IP) Arm bagi mempercepat pembangunan produk semikonduktor tempatan yang direka bentuk di Malaysia.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata penyerahan tawaran itu memberi isyarat bahawa Malaysia sedang bergerak ke fasa baharu industri semikonduktor.
“Malaysia telah lama dikenali dalam aktiviti pemasangan, pengujian dan pembungkusan cip. Kekuatan ini penting tetapi masa depan industri tidak boleh berhenti di situ.
“Kita mesti bergerak lebih jauh daripada back-end kepada front-end, daripada sekadar menghasilkan kepada mereka bentuk, membangunkan IP dan mencipta teknologi sendiri,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran kepada Entiti Diluluskan di bawah Kerjasama Strategik antara Kerajaan Malaysia dan ARM Limited di sini hari ini,
-- BERNAMA