Taiwan Sasar Perkukuh Kerjasama Dengan Malaysia Dalam AI, Penjagaan Kesihatan Pintar - TAITRA
Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Malaysia dan Taiwan boleh memperkukuhkan lagi kerjasama antara kedua-dua negara dalam tiga bidang utama iaitu kecerdasan buatan (AI), kelestarian hijau dan penjagaan kesihatan pintar.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Taiwan External Trade Development Council (TAITRA) Simon Wang berkata Malaysia terus mengembangkan peranannya sebagai kuasa utama digital dengan pertumbuhan pusat data dan prasarananya yang mendapat pengiktirafan antarabangsa.
"Kita boleh bersama-sama memajukan sistem pintar -- daripada automasi kilang kepada platform AI -- melalui kepakaran dipertingkat dan cita-cita bersama," katanya menerusi ucapan beliau pada perasmian Taiwan Expo 2025 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Wang berkata bagi kelestarian hijau, syarikat Taiwan membawa penyelesaian praktikal dalam kecekapan tenaga dan teknologi rendah karbon.
Beliau berkata sejajar dengan matlamat alam sekitar Malaysia yang dinamik, ia boleh membantu industri bergerak ke arah masa depan yang lebih hijau dan lebih kompetitif.
“Bagi penjagaan kesihatan pintar, dengan inovasi dalam diagnostik, peranti perubatan dan kesihatan digital, Taiwan bersedia untuk bekerjasama rapat dengan rakan kongsi dari Malaysia untuk membangunkan bersama penyelesaian yang menambah baik kehidupan di seluruh rantau ini.
"Marilah kita bersama-sama membina masa depan dengan teknologi memperkasakan kemajuan, dan perkongsian mengubah idea menjadi suatu yang membawa impak," katanya.
Taiwan Expo 2025 adalah sebahagian daripada platform pameran utama global bertujuan untuk mempamerkan keupayaan inovasi dan pembuatan terbaik Taiwan.
Pameran anjuran Taiwan International Trade Administration dan TAITRA itu berlangsung hari ini sehingga 25 Jun 2025 dan menghimpunkan lebih 200 syarikat terkemuka Taiwan.
Acara tahun ini adalah yang terbesar setakat ini, dan lima tema utama pameran itu seiring dengan trend industri di Malaysia, termasuk pembuatan pintar, kesihatan dan kesejahteraan, kelestarian, serta budaya dan pelancongan.
Ini merupakan penganjuran Taiwan Expo kali kelapan di Malaysia dengan inovasi AI sebagai kemuncak utama acara tersebut.
Sebanyak 32 syarikat AI terkemuka dari Taiwan mempamerkan rangkaian produk dan penyelesaian mereka, termasuk pembuatan pintar, teknologi perubatan, keselamatan siber, kewangan dan perkhidmatan pendidikan.
Salah satu peserta dalam segmen AI ialah Freedom Systems Inc, syarikat yang mempamerkan perkhidmatan penyumberan luaran maklumat yang disesuaikan dengan keperluan pembangunan pelanggannya.
Seorang wakil daripada Freedom Systems berkata, sebagai penyedia penyelesaian teknologi maklumat (IT) global, syarikat itu sedang meneroka peluang untuk berkembang ke Malaysia dengan menubuhkan pasukan kejuruteraan tempatan dan mendapatkan pelanggan baharu.
“Malaysia mempamerkan potensi yang kukuh, terutamanya dalam sektor yang sejajar dengan perkhidmatan penyumberan luar dan pengoptimuman digitalnya.
"Kami belum ada pelanggan lagi di Malaysia, tetapi kami aktif di Thailand, Jepun, Singapura, Eropah dan Amerika Syarikat. Kami berharap dapat berhubung dengan rakan kongsi berpotensi di sini," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata syarikat itu menyasarkan tiga sektor utama, iaitu pembuatan, bioteknologi dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
"Malaysia mempunyai asas pembuatan yang dinamik, terutamanya di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru. Firma bioteknologi (bioteknologi) juga menawarkan peluang, kerana mereka sentiasa mencari alat digital kos efektif untuk meningkatkan kecekapan," katanya.
Beliau berkata bagi PKS, Freedom Systems menawarkan penyelesaian penyumberan luar IT menyeluruh untuk menangani isu jurang bakat.
"Banyak PKS tidak mampu untuk mengupah kakitangan IT dalaman, jadi kami menyediakan sokongan berskala tanpa kos yang tinggi," katanya.
-- BERNAMA