BERITA TERKINI   Kerajaan komited memperkasa sekolah agama rakyat dan institusi pondok sebagai benteng akidah serta akhlak ummah - PM Anwar  | Anak muda perlu diberi ruang melalui jawatankuasa khas supaya masjid terus hidup dan diimarahkan - PM Anwar | PRK Kinabatangan: Sebanyak 43.23 peratus keluar mengundi setakat 1 tengah hari - SPR | PRK Lamag: Sebanyak 44.50 peratus keluar mengundi setakat 1 tengah hari - SPR | PRK Lamag: Satu pusat mengundi ditutup 1 tengah hari - SPR | 

Niaga Hadapan FBM KLCI Dijangka Diniagakan Tinggi Minggu Depan

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan tinggi minggu depan.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pada paras semasa, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) bergerak ke arah paras indeks yang penting, dengan paras tertinggi sebelum ini pada 1,721.42 dicatatkan pada 22 Feb 2019.

Semalam, indeks petunjuk pasaran mencecah 1,719.99, hampir dengan paras 1,720.

“Kami berpendapat melepasi paras ini adalah penting berikutan ini akan menunjukkan gelombang momentum meningkat seterusnya dan berpotensi memberi laluan kepada kenaikan selanjutnya dalam pasaran lebih luas. 

“Oleh itu, kami menjangka FBM KLCI diniagakan dalam julat 1,700 hingga 1,730 minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Pada minggu baru berakhir, niaga hadapan FBM KLCI diniagakan kebanyakannya tinggi berikutan sentimen positif mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR), ketidaktentuan geopolitik yang mereda dan ringgit yang mengukuh.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, kontrak Januari 2026 naik 25 mata kepada 1,717.0, Februari 2026 meningkat 6.5 mata kepada 1,721.5, Mac 2026 melonjak 4.5 mata kepada 1,701.5 dan Jun 2026 menambah 2.0 mata kepada 1,702.5.

Jumlah dagangan merosot kepada 32,462 lot daripada 36,578 lot minggu lepas manakala kepentingan terbuka naik kepada 41,444 kontrak daripada 41,095 kontrak sebelum ini.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI naik 7.25 mata kepada 1,719.99 daripada 1,712.74 minggu lepas. 

-- BERNAMA