BERITA TERKINI   SST buah import: Lebih banyak penjelasan akan dibuat bagi elak kekeliruan rakyat - PM Anwar | Lantikan Ketua Polis Negara masih belum dimuktamad - PM Anwar | Kerajaan tidak naikkan harga minyak (RON95) walaupun ketegangan berlaku antara Iran-Israel ketika ini - PM Anwar | E-waste bernilai lebih setengah bilion ringgit dirampas, 453 individu ditahan dalam Op Hazard 2.0 - Pengarah KDNKA Bukit Aman | 

Anak Syarikat DNeX Raih Kontrak RM103.76 Juta Dari MoF Untuk Sokong Sistem iGFMAS

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Dagang NeXchange Bhd (DNeX), melalui anak syarikatnya Innovation Associates Consulting Sdn Bhd (IAC), meraih kontrak bernilai RM103.76 juta daripada Kementerian Kewangan (MoF).

Kontrak itu bagi menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan dan sokongan aplikasi untuk Sistem Pengurusan Kewangan dan Perakaunan Bersepadu Kerajaan Persekutuan (iGFMAS).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, DNeX berkata ia menerima surat setuju terima hari ini untuk kontrak berkenaan yang meliputi tempoh selama 60 bulan bermula daripada tarikh itu.

“Lembaga pengarah percaya projek ini adalah demi kepentingan terbaik syarikat dan anak-anak syarikatnya. Ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham kumpulan bermula dari tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2025 dan seterusnya.

“Lembaga pengarah juga tidak menjangkakan sebarang risiko luar biasa selain daripada risiko operasi biasa yang berkaitan dengan projek ini,” katanya.

DNeX menambah bahawa tiada pengarah, pemegang saham utama, atau pihak yang berkaitan dengan syarikat mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam projek itu.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, DNeX berkata iGFMAS memainkan peranan penting dalam memastikan pengurusan kewangan kerajaan Persekutuan yang cekap, selamat dan telus.

“Sistem ini membolehkan penyediaan penyata kewangan kerajaan Persekutuan berdasarkan tunai diubah suai dan perakaunan akruan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan DNeX Faizal Sham Abu Mansor berkata kontrak itu mencerminkan kepercayaan berterusan kerajaan terhadap keupayaan teknikal dan pengalaman kumpulan itu dalam menyokong inisiatif digital kebangsaan.

“Kontrak ini membolehkan kami membina asas sedia ada dan mempertingkatkan platform bagi memenuhi keperluan tadbir urus kewangan Malaysia yang sentiasa berkembang.

“Kami menyokong aspirasi kerajaan untuk menjadikan perkhidmatan awam lebih tangkas dan responsif melalui penggunaan teknologi dan penyelesaian digital untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Kumpulan itu pada masa ini menyokong pelbagai perkhidmatan digital melalui segmen teknologi maklumatnya, termasuk perkhidmatan eServices antara perniagaan ke kerajaan dan perniagaan ke perniagaan, penyelesaian perancangan sumber perusahaan, perkhidmatan awan berasingan dan teknologi yang dipacu kecerdasan buatan.

-- BERNAMA