BERITA TERKINI   Perdana Menteri minta tindakan penguatkuasaan diambil terhadap warga asing yang salah guna pas lawatan sosial - Fahmi | Kementerian Pendidikan Tinggi akan adakan pertemuan dengan MQA minggu depan, teliti isu laluan ke IPTA -- Fahmi  | 

Permintaan Lemah Menjelang Tahun Baharu Cina Dorong Pasaran Getah Ditutup Rendah

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) -- Permintaan yang dijangka lemah menjelang Tahun Baharu Cina mendorong pasaran getah Kuala Lumpur ditutup rendah hari ini, kata seorang peniaga.

Menurut peniaga itu, aktiviti pengisian stok sebelum perayaan itu sebahagian besarnya telah selesai walaupun dagangan masih berbaki 12 hari lagi.

Beliau berkata harga minyak yang rendah turut menjejaskan sentimen pasaran.

“Harga minyak susut selepas pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump melonggarkan beberapa sekatan ke atas industri tenaga Venezuela, yang berpotensi membolehkan sebahagian bekalan minyak di negara Amerika Selatan itu boleh dijual semula," katanya kepada Bernama.

Ketika ini, harga minyak mentah Brent meningkat 0.95 peratus kepada US$70.04 setong.

Bagaimanapun, beliau berkata prestasi ekonomi AS yang positif mengehadkan penurunan selanjutnya.

“Defisit perdagangan AS yang semakin melebar pada November menunjukkan lonjakan kukuh dalam import barangan modal, terutamanya berkaitan pelaburan untuk kecerdasan buatan (AI), menandakan perbelanjaan perniagaan yang kukuh dan keyakinan terhadap pertumbuhan ekonomi jangka panjang,” tambahnya.

Pada 3 petang, Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 susut 2.5 sen kepada 764.50 sen sekilogram, manakala lateks pukal kekal tidak berubah pada 577.50 sen sekilogram.

Pasaran getah Kuala Lumpur akan ditutup pada Isnin, 2 Feb, 2026 sempena cuti gantian untuk Thaipusam dan Hari Wilayah Persekutuan dan dagangan untuk komoditi itu akan disambung semula pada Selasa, 3 Feb, 2026.

-- BERNAMA