BERITA TERKINI   Liga Super: PDRM FC 1-1 KL City FC | 

Bursa Malaysia Ditutup Tinggi Susulan Minat Belian Baharu

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup tinggi pada Jumaat, didorong oleh minat belian baharu dalam saham perbankan berikutan momentum dagangan meningkat pada akhir dagangan, kata penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 9.99 mata atau 0.58 peratus kepada 1,740.88 daripada 1,730.89 semasa ditutup pada Khamis.

Indeks petunjuk pasaran dibuka meningkat 1.73 mata kepada 1,732.62, iaitu paras terendah hari berkenaan sebelum bergerak ke paras tertinggi harian 1,744.82 selepas 22 minit dagangan.

Dalam pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 623 berbanding 446, sebanyak 608 kaunter tidak berubah, 1,013 kaunter tidak diniagakan dan 61 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan merosot kepada 2.73 bilion saham bernilai RM3.43 bilion daripada 3.06 bilion saham bernilai RM3.95 bilion pada Khamis.

Pengarah, Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi Mohd Sedek Jantan IPPFA Sdn Bhd berkata daya tahan FBM KLCI disokong oleh komposisi yang besar dalam saham sektor kewangan, yang membantu menampung indeks berkenaan daripada kelemahan pasaran yang meluas.

“Kami mendapati bahawa penurunan pada dua hari kebelakangan ini sesuatu yang baik dan peluang untuk mengumpul saham terutama dalam saham perbankan.

“Setakat ini pada tahun ini, Indeks Perkhidmatan Kewangan Bursa Malaysia telah meningkat lebih daripada lapan peratus," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata bursa tempatan mengatasi kebanyakan pasaran serantau, yang ditutup rendah dalam keadaan petunjuk bercampur-campur daripada Wall Street dalam tempoh semalaman dan penyusutan saham teknologi.

“Pasaran Asia secara keseluruhan ditutup kebanyakannya rendah selepas penjualan saham yang diterajui sektor teknologi di Wall Street berikutan pelabur menilai semula sama ada pelaburan besar berkaitan kecerdasan buatan boleh dikekalkan dalam jangka panjang,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah 16 sen kepada RM11.80, Public Bank meningkat dua sen kepada RM4.87, CIMB menokok 11 sen kepada RM8.58, dan IHH Healthcare naik 10 sen kepada RM8.96 manakala Tenaga Nasional susut enam sen kepada RM13.94.

Bagi saham paling aktif, Capital A rendah dua sen kepada 61.5 sen, Dagang NeXchange susut 2.5 sen kepada 29.5 sen, Tanco Holdings naik dua sen kepada RM1.36, Zetrix AI meningkat setengah sen kepada 80.5 sen, dan SP Setia naik satu sen kepada 98.5 sen.

Saham paling untung menyaksikan Hong Leong Bank meningkat RM1.48 kepada RM25.80, Fraser & Neave Holdings naik RM1.34 kepada RM35.76, Hong Leong Financial Group menambah 64 sen kepada RM22.34, Petronas Dagangan meningkat 38 sen kepada RM21.20 dan RHB Bank naik 35 sen kepada RM8.45.

Saham paling rugi diterajui oleh Nestle yang merosot RM2.00 kepada RM112.00, United Plantations rendah 34 sen kepada RM30.24, Batu Kawan susut 22 sen kepada RM19.36, dan Malaysian Pacific Industries berkurangan 20 sen kepada RM32.00.

Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 meningkat 62.18 mata kepada 12,562.02, Indeks FBM Emas naik 54.49 mata kepada 12,745.99 dan Indeks FBM Mid 70 menambah 42.15 mata kepada 17,509.58.

Indeks FBM Emas Shariah susut 2.91 mata kepada 12,275.32 dan Indeks FBM ACE rendah 20.78 mata kepada 4,723.00.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 373.84 mata kepada 21,510.18 dan Indeks Tenaga menambah 5.87 mata kepada 758.93.

Bagaimanapun, Indeks Perladangan susut 0.42 mata kepada 8,364.56 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian rendah 0.58 mata kepada 175.56.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.58 bilion unit bernilai RM3.17 bilion daripada 1.84 bilion unit bernilai RM3.65 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 748.94 juta unit bernilai RM103.08 juta daripada 800.64 juta unit bernilai RM115.53 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menyusut kepada 392.11 juta unit bernilai RM150.43 juta daripada 419.29 juta unit bernilai RM176.11 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 266.24 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (229.95 juta), pembinaan (148.36 juta), teknologi (254.17 juta), perkhidmatan kewangan (153.55 juta), hartanah (211.88 juta), perladangan (21.76 juta), amanah pelaburan hartanah (23.19 juta), dana tertutup (53,300), tenaga (80.33 juta), penjagaan kesihatan (97.34 juta), telekomunikasi dan media (35.53 juta), pengangkutan dan logistik (24.82 juta), utiliti (37.41 juta) serta amanah perniagaan (90,600).

-- BERNAMA