BERITA TERKINI   SST buah import: Lebih banyak penjelasan akan dibuat bagi elak kekeliruan rakyat - PM Anwar | Lantikan Ketua Polis Negara masih belum dimuktamad - PM Anwar | Kerajaan tidak naikkan harga minyak (RON95) walaupun ketegangan berlaku antara Iran-Israel ketika ini - PM Anwar | E-waste bernilai lebih setengah bilion ringgit dirampas, 453 individu ditahan dalam Op Hazard 2.0 - Pengarah KDNKA Bukit Aman | 

Sektor Minyak Dan Gas Bersiap Sedia Hadapi Impak Ketegangan Geopolitik -- Petronas

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Industri minyak dan gas kekal bersiap sedia di tengah-tengah ketegangan geopolitik ketika ini walaupun keadaan masih tenang, kata presiden dan ketua pegawai eksekutif kumpulan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.

“Saya tidak boleh berikan statistik konklusif, tetapi berdasarkan pemerhatian, ramai pemimpin (syarikat) minyak dan gas di sini terpaksa keluar setiap jam untuk menguruskan operasi dan menangani pendedahan serantau.

"Ia menunjukkan bahawa walaupun keadaan luaran nampak tenang, namun sebaliknya di belakang tabir penggiat industri gigih berusaha keras tanpa henti sepanjang masa," katanya menjawab soalan mengenai reaksi industri terhadap konflik di Timur Tengah semasa sidang akhbar hari ini.

Sidang media itu diadakan sempena hari kedua Persidangan Energy Asia 2025 yang berlangsung selama tiga hari.

Tengku Muhammad Taufik berkata Petronas sedang memantau rapat situasi tersebut dan menyatakan syarikat minyak nasional itu mempunyai operasi di Iraq dan kehadiran aktif di Timur Tengah, dengan kakitangan ditempatkan di Abu Dhabi dan Arab Saudi.

"Ini adalah tanggungjawab yang ramai terlepas pandang. Presiden dan ketua pegawai eksekutif Saudi Aramco Amin Nasser menjelaskan perkara ini menerusi  hantaran videonya, menekankan bahawa kita tidak boleh memandang remeh kepentingan untuk memastikan bekalan sentiasa tersedia semasa krisis. Gangguan seperti ini boleh mengejutkan seluruh sistem," katanya.

Menjawab soalan lain, Tengku Muhammad Taufik mengesahkan bahawa kerajaan telah memulakan usaha untuk membangunkan terminal pengegasan (RGT) ketiga.

“Walaupun kedudukan kami kekal kukuh di Malaysia Timur dengan mengeksport tenaga kepada rakan kongsi jangka panjang kami dan menyokong jaminan tenaga mereka, permintaan di Semenanjung Malaysia berkembang pesat,” katanya.

Menurut laporan, Petronas telah diberi mandat oleh kerajaan untuk membangunkan RGT ketiga negara bagi memastikan jaminan bekalan tenaga di Semenanjung Malaysia.

Kemudahan baharu itu yang dijangka terletak di Lumut, Perak, akan mempunyai kapasiti sekurang-kurangnya setanding dengan dua RGT sedia ada Petronas di Sungai Udang, Melaka, dan Pengerang, Johor.

-- BERNAMA