BERITA TERKINI   9 Rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan FFC, TMTG dibebaskan pada Jumaat, kata Kementerian Luar | Belanjawan 2026: Kerajaan Persekutuan peruntuk RM1.2 bilion, jamin kelangsungan bekalan elektrik di Sabah. | Belanjawan 2026: RM1.67 bilion diperuntukkan tahun hadapan bagi membolehkan Pan Borneo Sabah dapat dilaksana mengikut jadual | Belanjawan 2026: RM1.67 bilion disediakan untuk Pan Borneo Sabah dilaksana mengikut jadual tahun hadapan | Belanjawan 2026: Penjawat awam sahut cabaran untuk terus mempercepatkan proses, prosedur kerja - KSN | 

KPK Peruntuk RM19 Juta Bagi Projek Pemulihan Kebun Koko Dari 2024 Hingga 2026

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) melalui Lembaga Koko Malaysia (LKM) memperuntukkan RM19 juta dari 2024 hingga 2026 bagi Projek Pemulihan Kebun Koko di seluruh Malaysia untuk meningkatkan taraf penanaman koko sebagai sumber utama ekonomi negara.

KPK menjelaskan Program Rangsangan Pengeluaran Hasil Koko turut dilaksanakan untuk meningkatkan kawasan tanaman baharu seluas 550 hektar dan menyediakan kemudahan infra mini pemprosesan koko.

"LKM juga menjalankan penyelidikan dan pembangunan untuk menghasilkan teknologi dan penemuan baharu bagi mengatasi masalah utama industri koko di sektor huluan, serta pemerkasaan rantaian pemasaran koko melalui koperasi terpimpin di setiap wilayah.

"KPK juga menggalakkan pengeluaran produk premium seperti ‘single origin’ dan ‘fine flavor’ bagi menjenamakan koko tempatan dengan keunikan rasa setempat," menurut KPK menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Dewan Rakyat hari ini.

KPK menjawab pertanyaan Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parti Buntar) berkenaan dengan langkah dan program bagi meningkatkan taraf penanaman kelapa serta koko sebagai sumber utama ekonomi negara.

Kementerian itu juga menjelaskan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Jabatan Pertanian peka terhadap pembangunan industri kelapa negara.

KPK berkata KPKM memperuntukkan RM5 juta menerusi projek Program Sumber Kekayaan Baharu (SKB) Pembangunan Industri Kelapa pada tahun ini bagi meningkatkan taraf penanaman kelapa dan memperluaskan penanaman tanaman kelapa.

Kementerian tersebut juga memberi insentif kepada petani untuk menjalankan Projek Pembangunan Industri Kelapa meliputi input pertanian (anak benih, baja, racun perosak, racun rumpai) dan bantuan infrastruktur asas ladang seperti penyediaan kawasan, peparitan dan peralatan kecil ladang.  

"KPKM juga menggalakkan penanaman kelapa jenis hibrid dan 'dwarf' yang merupakan jenis kelapa berhasil tinggi seperti Kelapa Matag, Kelapa ‘Malayan Red Dwarf’ (MRD), Kelapa ‘Malayan Yellow Dwarf’ (MYD) dan Kelapa Pandan. 

"Penanaman kelapa jenis ini akan dapat meningkatkan jumlah produktiviti kelapa sekali gus dapat meningkatkan pengeluaran hasil dan pendapatan pengusaha kelapa," katanya.

-- BERNAMA