Ivory Properties Akan Dinyahsenarai Daripada Bursa Malaysia Pada 14 Oktober
KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia menolak rayuan Ivory Properties Group Bhd untuk melanjutkan tempoh bagi mengemukakan pelan pemulihan syarikat, sekali gus membawa kepada penyahsenaraian syarikat itu daripada Pasaran Utama.
Bursa itu dalam satu kenyataan di laman webnya memaklumkan bahawa sekuriti Ivory Properties akan dikeluarkan daripada Senarai Rasmi Bursa Malaysia sebaik sahaja tamat tempoh dua hari dagangan daripada tarikh notis berkenaan, iaitu pada 14 Okt, 2025.
Ia berkata sekuriti syarikat yang kini didaftarkan dengan Bursa Malaysia Depository Sdn Bhd turut akan ditarik balik seiring dengan proses penyahsenaraian itu.
“Syarikat akan terus mengemas kini dan mengekalkan maklumat pemegang saham dalam daftar mereka.
"Meskipun telah dinyahsenarai, syarikat akan terus wujud sebagai entiti tidak tersenarai. Ia masih boleh meneruskan operasi perniagaan dan usaha penstrukturan korporat, manakala para pemegang saham masih berpeluang menikmati ganjaran berdasarkan prestasi syarikat,” kata Bursa.
Bagaimanapun, saham Ivory Properties tidak lagi akan diniagakan di Bursa Malaysia selepas tarikh penyahsenaraian.
"Kepentingan dan hak pemegang saham tetap dilindungi di bawah Akta Syarikat 2016," katanya.
-- BERNAMA