BERITA TERKINI   Syarikat berpangkalan di Singapura telah melabur lebih S$5.5 bilion ke Johor sejak pemeteraian MoU JS-SEZ -- TPM Singapura Gan | Kerajaan menimbang meningkatkan Dana Pembangunan Perniagaan Malaysia-Singapura bagi membantu lebih banyak PKS mendapat peluang perniagaan rentas sempadan – Tengku Zafrul | Semua projek pembuatan bagi industri tidak sensitif dalam sektor ekonomi yang dikenal pasti di JS-SEZ akan diberikan kelulusan pantas untuk Lesen Pengilangan (ML) dalam tempoh 7 hari bekerja - Tengku Zafrul | Tambahan RM200 juta yang diperuntukkan kepada CoSIF di bawah Belanjawan 2026 membolehkan pelaburan bersama dalam projek berimpak tinggi oleh PKS Malaysia di JS-SEZ - Tengku Zafrul | Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan pastikan kes pelajar perempuan Tingkatan Empat yang maut ditikam disiasat secara telus dan adil - Fadhlina  | 

Malaysia Mungkin Guna Pakai Tenaga Nuklear Bagi Percepat Sasaran Sifar Bersih 2050

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Malaysia perlu melihat semula keseluruhan segitiga tenaga, termasuk kemungkinan mengguna pakai tenaga nuklear bagi mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, kata Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

“Kita perlu mengekalkan kemampuan, kemampanan serta keselamatan terhadap bekalan. Di manakah kita akan gantikan sumber beban asas kita?

“… jadi walaupun tenaga nuklear tidak dianggap sebagai tenaga boleh baharu, tetapi ia dianggap sebagai salah satu sumber tenaga bersih. Jadi kalau tanya saya, dari sudut pandangan saya, saya rasa tanpa tenaga nuklear, kita mungkin tidak akan mencapai sasaran sifar bersih menjelang 2050,” katanya.

Akmal Nasrullah merupakan ahli panel dalam sesi dialog bertajuk 'Delivering Malaysia's Energy Transition' pada persidangan Energy Asia 2025 yang berlangsung di sini hari ini.

Beliau menegaskan bahawa apabila Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dilancarkan pada 2023, tumpuan bukan sahaja diberikan kepada pengeluaran atau peralihan tenaga, tetapi dinamik dari segi penggunaan juga telah berubah.

NETR menyasarkan untuk mencapai 70 peratus tenaga boleh baharu dalam campuran tenaga menjelang 2050, di mana tenaga solar dan hidro memainkan peranan utama, manakala gas asli berfungsi sebagai bahan api peralihan.

Beliau berkata kerajaan dan orang ramai perlu menerima realiti untuk mengguna pakai tenaga nuklear bagi membantu negara mencapai misi sifar bersih.

“Jadi perlu diingat, perkara ini (penggunaan tenaga nuklear) adalah sesuatu yang perlu kita pertimbangkan.

“Kita memang (mempunyai) perancangan kita sendiri, tetapi diharapkan apabila kerajaan membuat keputusan untuk melaksanakan tenaga nuklear secara menyeluruh, bukan sahaja kerajaan, (tetapi) orang ramai juga perlu bersedia untuk menerima hakikat bahawa untuk kita mencapai sasaran sifar bersih menjelang 2050, tenaga nuklear adalah jalan ke hadapan,” katanya.

-- BERNAMA