The Lincoln Suites, London Milik Malaysia Tersenarai Dalam 10 Peratus Hotel Terbaik Dunia

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- The Lincoln Suites, sebuah hartanah hospitaliti di London dimiliki syarikat Malaysia Eastern & Oriental Bhd (E&O), sekali lagi mendapat pengiktirafan melalui Anugerah Pilihan Pengembara Tripadvisor, meletakkannya dalam kalangan 10 peratus hotel terbaik di seluruh dunia, buat tahun ketiga berturut-turut.

Pengerusi Eksekutif E&O Datuk Seri Tee Eng Ho berkata anugerah itu mencerminkan tahap kepuasan tetamu yang kukuh secara konsisten, berdasarkan ulasan, penarafan, dan tempahan di platform pelancongan terbesar dunia itu dalam tempoh 12 bulan.

Beliau berkata kejayaan ini juga membuktikan jenama kehidupan mewah tersendiri oleh E&O, dibentuk oleh warisan dan visi sebagai sebuah syarikat Malaysia yang terus mendapat pengiktirafan antarabangsa.

"Kejayaan The Lincoln Suites mencerminkan keupayaan kami untuk bersaing di pentas global sambil berpegang kepada nilai yang mentakrifkan E&O," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terletak di sepanjang Kingsway di London, The Lincoln Suites beroperasi di bangunan Edwardian yang telah dipulihkan dan terdiri daripada 54 unit studio, apartmen sebuah dan dua buah bilik tidur, menggabungkan keselesaan seperti di rumah dengan keanggunan hotel butik untuk pengembara bandar yang mencari ketenangan, fleksibiliti dan lokasi strategik.

Anugerah Pilihan Pengembara Tripadvisor meraikan hartanah dengan penarafan tertinggi di seluruh dunia, berdasarkan jutaan ulasan pengembara merangkumi aspek termasuk perkhidmatan, kebersihan dan lokasi.

-- BERNAMA