Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi, Jejak Prestasi Harga Minyak Kacang Soya Di CBOT

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Rabu, sejajar dengan kenaikan harga minyak kacang soya di Lembaga Dagangan Chicago (CBOT), kata peniaga.

Pedagang proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng berkata kenaikan harga minyak kacang soya menyokong MSM, kerana minyak sawit dan minyak kacang soya merupakan minyak sayuran utama yang bersaing dalam pasaran minyak boleh makan global.

Beliau berkata sentimen pasaran turut disokong oleh harga minyak mentah yang lebih kukuh.

Ketika laporan ini dibuat, minyak mentah Brent meningkat 0.6 peratus kepada US$95.36 setong.

“Kami menetapkan paras sokongan harga pada RM4,400 satu tan manakala rintangan pada RM4,550 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Pada akhir dagangan, kontrak bagi serahan pada April 2024 kekal RM4,359 satu tan, manakala Mei 2026, Jun 2026 dan Julai 2026 masing-masing meningkat RM6 kepada RM4,426, RM4,472 dan RM4,497 satu tan.

Ogos 2026 naik RM5 kepada RM4,494 satu tan dan September 2026 menokok RM2 kepada RM4,481 satu tan.

Jumlah dagangan susut kepada 84,427 lot daripada 107,900 lot pada Selasa, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 264,763 kontrak daripada 264,587 kontrak.

Harga MSM fizikal bagi April Selatan menokok RM30 kepada RM4,490 satu tan.

-- BERNAMA