BERITA TERKINI   Piala Uber: Jepun 1 Malaysia 0: Akane Yamaguchi kalahkan K. Letshanaa 21-19, 21-17 | Piala Thomas: Malaysia 4 Finland 1: Soh Wooi Yik-Tee Kai Wun menewaskan Ananda Galvani Daniswara-Alvar Melleri 21-7, 21-14 | Piala Thomas: Malaysia 0 Finland 1: Leong Jun Hao kalah kepada Joakim Oldorff 17-21, 15-21 | Isu Kerajaan Negeri Sembilan: UMNO pusat akan bertemu ADUN UMNO negeri dalam masa terdekat - Ahmad Zahid | UMNO akan bertemu PM Anwar, bincang isu Kerajaan Negeri Sembilan - Ahmad Zahid | 

Pemimpin Berpengaruh Industri Berhimpun Di Energy Asia 2025, Pacu Peralihan Tenaga

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) – Persidangan Energy Asia 2025 bertemakan “Delivering Asia’s Energy” di sini pada 16-18 Jun, 2025, menjadi platform tepat bagi Malaysia dan rantau ini menilai kemajuan mencapai matlamat peralihan tenaga serta memperkukuh komitmen negara ke arah sasaran pelepasan karbon sifar bersih.

Penganjuran acara itu juga dilihat sebagai wajar di tengah-tengah persimpangan antara pempelbagaian ekonomi dan pembangunan mampan ketika negara-negara beralih daripada minyak kepada tenaga boleh baharu (TBB) serta menggunapakai teknologi baharu seperti hidrogen dan penangkapan karbon.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan ucaptama dan merasmikan acara yang bakal menampilkan 180 penceramah terkemuka dari seluruh dunia selain menarik kehadiran lebih 4,000 delegasi, termasuk kalangan penggubal dasar, profesional tenaga serta pemimpin industri.

Antara agenda utama persidangan adalah sesi pleno bertajuk “Energy Present, Energy Future : Pathways for Asia’s Just Transition” dan diikuti dengan dialog kepimpinan “Energy at the Crossroads: Policies, Technologies and Investments”.

Turut diadakan adalah sesi pertemuan tertutup ketua pegawai eksekutif global dan pemimpin peringkat tertinggi sektor-sektor utama seperti minyak dan gas, tenaga, teknologi, kewangan dan perkhidmatan profesional.

Ini bagi merangka laluan kolektif yang dapat merangsang pelaburan, mengukuhkan penyelarasan dan mempercepat penggunaan teknologi bagi memacu peralihan tenaga di Asia.

Kehadiran barisan menteri kanan dan tokoh korporat ini juga bagi perbincangan isu utama tenaga di Asia yang merangkumi tujuh tema utama : geopolitik, strategi pasaran, peralihan tenaga elektrik, teknologi dan inovasi, pasaran modal, kemampanan dan pembangunan bakat.

Selain Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas merangkap Pengerusi Energy Asia Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, nama besar lain industri itu yang dijadual hadir adalah Setiausaha Agung Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) Haitham Al Ghais; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Saudi Aramco Amin Nasser serta Presiden Institut Penyelidikan Ekonomi & Teknologi China National Petroleum Corporation (CNPC) Dr Lu Ruquan.

Persidangan eksekutif itu dilengkapkan lagi dengan Energy Park – hab pengalaman interaktif yang direka bagi mencetuskan idea, tindakan serta melakar hala tuju peralihan tenaga ASEAN selain turut mengumpulkan komuniti pakar tekonologi, usahawan, pelabur modal teroka serta inovator korporat.

-- BERNAMA