BERITA TERKINI   Mahkamah Tinggi KL melepas tanpa membebaskan Najib daripada pertuduhan pengubahan wang haram babitkan dana SRC berjumlah RM27 juta | GST hanya dapat dilaksanakan sekiranya purata pendapatan rakyat cecah RM4,000 sebulan - PM Anwar | Anwar akui GST efisien dan telus namun belum sesuai dilaksanakan kerana nilai ambang pendapatan rakyat masih rendah | 

Paradigm REIT Sasar Ambil Alih Tiga Hotel, KLIA Gateway

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Paradigm Real Estate Investment Trust (Paradigm REIT), sebuah amanah pelaburan hartanah tempatan merancang untuk mengambil alih tiga hotel dan pusat komersial dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Aset tersebut ialah Hyatt Place Johor Bahru Paradigm Mall, Le Méridien Petaling Jaya, Premier Hotel Klang, dan Gateway@Kuala Lumpur International Airport (KLIA) Terminal 2.

Pengarah Pelaburan, Kewangan dan Akaun Paradigm REIT Management Sdn Bhd Chong Kian Fah berkata cadangan pengambilalihan itu akan dibiayai menerusi gabungan tunai 50:50 dan unit REIT yang bahru diterbitkan.

“Kami merancang untuk meraih bahagian tunai melalui nota jangka sederhana (MTN).

“Cadangan kami ialah membayar vender separuh secara tunai dan separuh lagi dalam unit REIT yang baharu,” katanya dalam sidang media berikutan majlis penyenaraian Paradigm REIT hari ini.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa dana amanah itu menyasarkan untuk mengambil alih tiga hotel tersebut pada 2026, manakala pusat komersial pada 2027 atau 2028.

Sementara itu, dana amanah yang disenaraikan di Pasaran Utama hari ini, dibuka tidak berubah daripada harga tawaran awam permulaannya (IPO) iaitu RM1.00, dengan 1.73 juta saham diniagakan.

Mengenai pengembangannya, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutifnya, Chuah Kah Noi berkata memandangkan ia merupakan REIT terbesar di Johor Bahru, pasukannya sedang meneliti untuk memperoleh lebih banyak aset di negeri itu, dengan tertumpu kepada aset yang dapat memberikan hasil.

Beliau juga percaya bahawa Paradigm REIT berada dalam kedudukan yang baik untuk mengekalkan prospek yang stabil, susulan paras jualan dan penghunian semasa merentas portfolis asetnya.

“Bagi kebanyakan pusat beli-belah, apa yang penting ialah jualan. Lebih banyak jualan yang dipacu kepada penyewa anda, lebih menguntungkan mereka dan lebih besar kemungkinan mereka kekal adalah tinggi.

“Penghunian merentas seluruh portfolio kami juga kukuh. Aset kami di Johor Bahru ialah kira-kira 99.3 peratus, di Petaling Jaya ia hampir kepada 98 peratus dan Pusat Beli-Belah Bukit Tinggi dipajak sepenuhnya pada 100 peratus,” katanya.

Katanya, Paradigm Mall di Johor Bahru dan Paradigm Mall di Petaling Jaya dijangka terus menunjukkan prestasi yang baik sehingga tahun depan, memanfaatkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, hasil kerjasama erat dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

-- BERNAMA