BERITA TERKINI   Ringgit melonjak kepada 3.8995 berbanding dolar AS pada Rabu, hampir cecah paras tertinggi dalam tempoh lapan tahun | Rangkaian Ultra5G pamerkan keupayaan infrastruktur digital negara, jadi titik sentuhan positif pertama pelancong luar - Fahmi | Kadar penggunaan rangkaian 5G di Malaysia catat lonjakan ketara dalam tempoh dua tahun daripada 4.7 juta kepada 28 juta pada Dis 2025 - Fahmi | Rangkaian Ultra5G di hab pengangkutan utama negara perkukuh imej Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 - Fahmi | Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-271 perkenan Sultan Perak terus pengerusikan Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam dua tahun lagi - Penyimpan Mohor | 

Malaysia, Poland Mahu Perkukuh Perkongsian ASEAN-EU, Hubungan Ekonomi - PM Anwar

PUTRAJAYA, 10 Jun (Bernama) -- Malaysia dan Poland menyatakan kesediaan untuk memperdalam kerjasama antara ASEAN dan Kesatuan Eropah (EU), memanfaatkan jawatan kepengerusian masing-masing untuk memacu perkongsian antara rantau yang lebih strategik bagi tempoh jangka panjang.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penyelarasan berterusan, dengan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini dan Poland menyandang jawatan presiden Majlis EU pada separuh pertama 2025, telah mewujudkan peluang diplomatik yang unik untuk memupuk hubungan ASEAN-EU yang lebih erat, khususnya dalam perdagangan.

"Lawatan Presiden Andrzej Duda ini sangat istimewa kerana beliau kini memegang jawatan presiden Majlis EU, manakala Malaysia adalah Pengerusi ASEAN.

“Perbincangan kami menyentuh tentang isu dua hala dan isu ASEAN-EU yang lebih meluas," kata Anwar pada sidang media bersama Presiden Poland itu, di sini ,hari ini.

Perdana Menteri berkata perbincangan antara ASEAN dan EU, khususnya mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), mendapat momentum baharu selepas mencatatkan kemajuan yang perlahan selama bertahun-tahun.

"Rundingan itu berlanjutan, mungkin disebabkan keutamaan yang berbeza pada masa lalu. Tetapi sepanjang tahun lepas dan terutamanya dalam beberapa bulan kebelakangan ini, kita telah melihat proses yang dipercepatkan,” kata beliau.

--  BERNAMA