Ringgit Ditutup Tidak Berubah Berbanding Dolar AS Menjelang Perbincangan AS-China
Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Ringgit diniagakan dalam jajaran kecil berbanding dolar AS hari ini di tengah-tengah sentimen berhati-hati dalam pasaran mata wang menjelang rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS)-China, kata seorang penganalisis.
Pada 6 petang, unit tempatan mencatatkan penurunan kecil kepada 4.2290/2345 berbanding dolar AS daripada 4.2270/2360 pada Jumaat minggu lepas.
Beliau berkata peserta pasaran sedang menunggu hasil daripada rundingan perdagangan antara dua kuasa besar ekonomi dunia itu yang dijadualkan berlangsung lewat hari ini,
Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata eksport China susut kepada 4.8 peratus pada Mei daripada 8.1 peratus pada bulan sebelumnya, dengan eksport ke Amerika Syarikat merosot 34.5 peratus pada Mei daripada 21 peratus.
"Ini menunjukkan bahawa kejutan tarif telah menjejaskan (perdagangan) dua hala antara AS dan China," katanya kepada Bernama
Sementara itu, Mohd Afzanizam berkata rizab FX Bank Negara Malaysia terus berkembang, meningkat kepada US$119.6 bilion pada akhir Mei daripada US$119.1 bilion pada pertengahan Mei.
“Ini menunjukkan bahawa aliran dana ke dalam ringgit adalah konstruktif dan mungkin menyokong ringgit,” katanya.
Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.
Unit tempatan susut berbanding yen Jepun kepada 2.9344/2.9384 daripada 2.9324/9390 pada Jumaat minggu lepas, merosot berbanding pound British kepada 5.7392/7466 daripada 5.7212/7334 dan turun berbanding euro kepada 4.8316/8379 daripada 4.8268/8371.
Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kebanyakan mata wang negara-negara ASEAN
Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2908/2953 daripada 3.2862/2934 pada Jumaat minggu lepas tetapi meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.9414/9642 daripada 12.9599/9947.
Ringgit meningkat berbanding peso Filipina kepada 12.9414/9642 daripada 12.9599/9947 dan hampir tidak berubah berbanding rupiah Indonesia kepada 259.5/260.0 daripada 259.5/260.2 sebelumnya.
-- BERNAMA