Pelabur Asing Teruskan Jualan Bersih RM6.21 Bilion Daripada Pasaran Asia
KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Pelabur asing meneruskan jualan bersih di pasaran Asia bagi minggu ketiga berturut-turut, mencatatkan aliran keluar RM6.21 bilion atau US$1.47 bilion, lebih tinggi daripada aliran keluar pada minggu sebelumnya berjumlah US$170.8 juta (US$1 = RM4.23).
MIDF Amanah Investment Bank Bhd dalam Laporan Aliran Dana bagi minggu berakhir 6 Jun 2025 berkata hanya Korea Selatan dan Filipina mencatatkan aliran masuk bersih asing manakala semua negara lain menyaksikan aliran keluar bersih.
Korea Selatan mendahului rantau ini dengan aliran masuk bersih yang mantap sebanyak US$1.80 bilion, meneruskan pembelian asing selama dua minggu berturut-turut walaupun data makroekonomi menunjukkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mendatar tahun ke tahun pada suku pertama 2025 dan penguncupan 0.2 peratus suku ke suku.
Penyusutan ekonomi yang berlaku ini adalah berikutan ketidakstabilan politik pada awal tahun ini termasuk pelaksanaan undang-undang tentera dan pemecatan bekas Presiden Yoon Suk Yeol.
“Presiden baru dilantik Lee Jae-myung tidak membuang masa untuk melaksanakan pelan rangsangan kecemasan bernilai US$22 bilion bagi menangani kelembapan ekonomi.
“Pentadbiran Lee, yang disokong oleh majoriti yang kukuh di parlimen, turut giat melantik barisan kabinet penuh di samping menguruskan siasatan undang-undang terhadap tindakan Yoon.
“Presiden itu telah berjanji untuk melaksanakan campur tangan fiskal segera untuk membantu isi rumah dan melonjakkan pertumbuhan, yang telah disemak turun oleh Bank of Korea kepada 0.8 peratus pada 2025,” menurut laporan berkenaan.
Sementara itu, MIDF Amanah berkata Filipina mencatatkan aliran masuk kedua tertinggi sebanyak US$9.8 juta selepas tiga minggu berturut-turut mencatatkan aliran keluar asing.
Mengenai aliran keluar, Taiwan mencatatkan aliran keluar bersih terbesar di rantau ini sebanyak US$1.72 bilion, menjadikan aktiviti penjualan asing berlaku bagi minggu ketiga berturut-turut.
MIDF Amanah berpendapat ketegangan geopolitik kekal meningkat apabila Taiwan menuduh China menjalankan rondaan kesiapsiagaan tempur bersama yang “sangat provokatif” melibatkan 21 pesawat tentera dan kapal perang.
Ketegangan yang berterusan ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelabur asing walaupun Taiwan memainkan peranan strategik dalam sektor semikonduktor.
Menurutnya India pula kembali kepada kedudukan aliran keluar bersih sebanyak US$1.02 bilion, mengakhiri pembelian asing berturut-turut dalam tempoh seminggu.
“Reserve Bank of India mengejutkan pasaran dengan pengurangan kadar faedah sebanyak 50 mata asas kepada 5.5 peratus, menyatakan kadar inflasi perlahan dan keperluan untuk menyokong pertumbuhan di tengah-tengah halangan perdagangan yang meningkat dari Amerika Syarikat (AS),” katanya.
Indonesia mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak US$288.4 juta sekali gus menamatkan aliran masuk selama tiga minggu berturut-turut.
MIDF Amanah berkata pertumbuhan KDNK Indonesia yang lemah bagi suku pertama 2025 iaitu 4.87 peratus mendorong kerajaan melancarkan pakej rangsangan bernilai US$1.5 bilion yang menyasarkan kepada pelancongan, bantuan sosial dan pemindahan tunai.
“Vietnam mencatatkan pengeluaran asing untuk minggu keempat berturut-turut dengan aliran keluar US$80.4 juta. Ketika lawatan AS, Vietnam memeterai memorandum persefahaman bernilai US$3 bilion bagi import makanan pertanian, berusaha untuk mengimbangi semula perdagangan dan mendorong AS ke arah mengurangkan tarif.
“Thailand mencatatkan aliran keluar bersih paling rendah pada US$72.7 juta, meneruskan aliran jualan asingnya kepada tiga minggu. Kerajaan melancarkan pakej rangsangan pelancongan bernilai US$405 juta bagi merancakkan kedatangan pelawat, khususnya dari China,” katanya.
Di dalam negara, MIDF Amanah berkata jualan bersih asing di Bursa Malaysia susut kepada RM3387.4 juta, lebih rendah daripada aliran keluar pada minggu sebelumnya sebanyak RM1.02 bilion.
Pelabur asing adalah penjual bersih pada setiap hari dagangan dengan aliran keluar antara RM5.4 juta hingga RM162.83 juta, mencatatkan aliran keluar terbesar pada Rabu sebanyak RM162.8 juta, diikuti Selasa pada RM121.2 juta.
MIDF Amanah berkata, tiga sektor teratas yang mencatat aliran masuk asing bersih tertinggi adalah telekomunikasi dan media (RM16.4 juta), teknologi (RM16.2 juta) dan hartanah (RM8.0 juta).
“Tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran keluar asing bersih tertinggi adalah perkhidmatan kewangan (RM193.1 juta), penjagaan kesihatan (RM130.9 juta) dan perladangan (RM40.4 juta),” katanya.
Institusi tempatan meneruskan aktiviti pembelian dengan aliran masuk bersih sebanyak RM444.6 juta manakala peruncit tempatan kembali melakukan penjualan selepas dua minggu pembelian, dengan aliran keluar RM57.3 juta.
MIDF Amanah berkata purata jumlah dagangan harian mengalami penurunan meluas pada minggu lepas, dengan institusi tempatan dan peruncit tempatan menyaksikan penurunan masing-masing sebanyak 8.1 peratus dan 15.8 peratus manakala pelabur asing mencatat penyusutan 29.1 peratus.
-- BERNAMA