Ringgit Ditutup Rendah Sedikit Susulan Kekukuhan Indeks Dolar AS
Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) --Ringgit ditutup rendah sedikit berbanding dolar AS hari ini susulan pengukuhan Indeks Dolar AS (DXY) ketika para peniaga menantikan pengumuman data Penyata Gaji Bukan Ladang (NFP) Amerika Syarikat (AS) malam ini, kata seorang penganalisis.
Pada 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.2270/2360 berbanding dolar AS, susut daripada paras 4.2245/2295 pada Khamis.
Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata DXY menokok 0.14 peratus kepada 98.884 mata ketika pasaran menunggu data NFP malam ini, menjangkakan senarai gaji meningkat sebanyak 126,000 pada Mei, turun daripada 177,000 pada bulan sebelumnya.
“Ringgit berbanding pertukaran dolar AS turun naik sekitar RM4.22 hingga RM4.23 hari ini. Berbanding semalam, ringgit menyusut sedikit sebanyak 0.09 peratus kepada RM4.2310.
"Minggu ini, ringgit mencatatkan prestasi yang baik, meningkat 0.7 peratus," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ketika ketegangan tarif AS-China mereda dan modal asing terus mengalir ke dalam pasaran hutang dan deposit pertukaran asing Malaysia, ringgit mendapat sokongan struktur yang lebih kukuh.
“Minat pelabur asing terus kukuh, membayangkan sebarang kelemahan ringgit yang didorong oleh dolar AS berkemungkinan menarik pembeli dengan pantas,” katanya.
Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.
Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9324/9390 daripada 2.9495/9531 pada Khamis dan menokok berbanding pound Britain kepada 5.7212/7334 daripada 5.7301/7369, namun menyusut berbanding euro kepada 4.8268/8371 daripada 4.8235/8292.
Ringgit juga diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang negara-negara ASEAN.
Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2862/2934 daripada 3.2881/2922, naik berbanding baht Thailand kepada 12.9599/9947 daripada 12.9925/13.0138, menokok berbanding peso Filipina kepada 7.58/7.60 daripada 7.59/7.61 namun susut berbanding rupiah Indonesia kepada 259.5/260.2 daripada 259.3/259.8.
-- BERNAMA