BERITA TERKINI   MOT laksana larangan pemanduan kenderaan barangan dan logistik mulai 19, 20, 28 dan 29 Mac sempena Aidilfitri | Harga minyak mentah global kini melebihi US$100 setong, Kerajaan kekal RON95 bersubsidi RM1.99 seliter - Kementerian Kewangan | Gas Malaysia akan bangunkan terminal LNG Yan selepas kelulusan Suruhanjaya Tenaga | Ringgit meningkat kepada 3.9145/9205 berbanding dolar AS semasa ditutup hari ini, daripada 3.9155/9200 pada Selasa | Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat di Pulau Pinang adalah persinggahan sementara bagi urusan logistik- Khaled Nordin | 

Malaysia Techlympics 2025 Sasar Tarik 1.7 Juta Penyertaan

KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan untuk menarik seramai 1.7 juta penyertaan individu bagi Malaysia Techlympics 2025, dan bakal meluaskan penyertaannya kepada peserta antarabangsa dalam pertandingan sains, teknologi dan inovasi (STI) itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, MOSTI berkata program yang dianjurkan melalui Malaysian Bioeconomy Development Corporation Sdn Bhd ini memberi tumpuan kepada usaha memupuk minat, membudayakan STI dalam kalangan pelajar dan belia, serta membentuk generasi masa depan yang bersedia menghadapi cabaran ekonomi digital.

“Inisiatif ini menekankan elemen inklusiviti, menerusi usaha memperluas akses dan peluang secara adil kepada komuniti terpinggir serta kawasan pedalaman melalui program libat urus yang disasarkan,” menurut kenyataan itu.

Program ini juga akan memperkenalkan lebih banyak pertandingan dan aktiviti berasaskan kecerdasan buatan (AI), dalam usaha menggalakkan generasi akan datang meneroka serta membina kepakaran dalam bidang tersebut yang kini menjadi pemacu utama ekonomi masa hadapan.

Malaysia Techlympics 2025 selari dengan keutamaan dasar negara dan antarabangsa melalui sokongan terhadap Dasar STI Negara 2021-2030 dan aspirasi Malaysia MADANI, dengan matlamat membangunkan kapasiti teknologi tempatan yang berimpak tinggi.

Pertandingan ini terbuka kepada peserta berumur antara tujuh hingga 30 tahun dan akan dilaksanakan secara berperingkat, bermula di peringkat sekolah, diikuti saringan mengikut zon merangkumi enam wilayah utama, sebelum ke peringkat akhir kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada November.

-- BERNAMA