iCents Meterai Perjanjian Penaja Jamin Dengan Alliance Islamic Bank Bagi IPO
KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Penyedia perkhidmatan bilik bersih dan kemudahan lain, iCents Group Holdings Bhd memeterai perjanjian penaja jaminan dengan Alliance Islamic Bank Bhd (AIS) bagi pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada Julai 2025.
Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata pelaksanaan IPO itu melibatkan terbitan awam sebanyak 112.5 juta saham biasa baharu, mewakili 22.5 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan, selain tawaran penjualan 30 juta saham sedia ada, mewakili enam peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan.
“Daripada 112.5 juta saham terbitan, sebanyak 25 juta saham akan disediakan untuk orang awam Malaysia menerusi undian, dengan 10 juta saham kepada pengarah yang layak, kakitangan dan individu yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan, 15 juta saham disediakan untuk tawaran saham persendirian kepada pelabur terpilih, manakala 62.5 juta saham akan disediakan menerusi tawaran saham persendirian kepada pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri,” katanya.
Selain itu, sebanyak 30 juta tawaran saham akan disediakan kepada pelabur terpilih menerusi tawaran saham persendirian.
Pengarah Urusan Kumpulan Ong Mum Fei berkata pemeteraian perjanjian penaja jaminan dengan AIS akan menyediakan syarikat itu dengan sumber pembiayaan dan fleksibiliti yang diperlukan untuk mempercepatkan pelan pertumbuhan strategik.
“Ketika kami mengembangkan keupayaan, kami komited untuk mengukuhkan kedudukan daya saing dalam industri bilik bersih di Malaysia, dengan melaksanakan pelan pengembangan pasaran di Indonesia, Singapura dan Sarawak menerusi keuntungan dari IPO,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Foo Siang Leng berkata prospek industri bilik bersih adalah positif, disokong oleh pertumbuhan stabil dalam sektor semikonduktor dan elektronik, pusat data, farmaseutikal serta makanan dan minuman, selain inisiatif di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 Malaysia.
“Kami mahu memanfaatkan peluang ini menerusi peningkatan penglibatan kami dalam industri utama dengan mengembangkan keupayaan operasi, meningkatkan capaian pasaran dan meluaskan rangkaian produk kami dan pasaran yang boleh ditangani,” katanya.
-- BERNAMA