BERITA TERKINI   Bernama dipilih semula sebagai Ahli Lembaga Eksekutif OANA pada Perhimpunan Agung Ke-19nya di St. Petersburg | MPI: Bernama menang Perak dan Gangsa bagi Kategori Lintas Langsung Berita Radio Terbaik | MPI: Bernama Radio menang emas, perak dan gangsa bagi kategori Bicarawara Radio Terbaik. | MPI: Wartawan Penyiaran Radio Bernama Ahmad Irfan Che Mohd Ruzaidi menang gangsa bagi Kategori Dokumenteri Radio Terbaik | MPI: Wartawan Penyiaran Radio Bernama Nurliayana Farhah rangkul emas kategori Laporan Radio Terbaik | 

Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari

KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia rendah pada tengah hari ini, didorong oleh aktiviti jualan dalam saham wajaran tinggi terpilih, diterajui oleh saham produk dan perkhidmatan pengguna serta perkhidmatan kewangan. 

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 0.05 peratus atau 0.84 mata kepada 1,502.41 daripada 1,503.25 pada Selasa. 

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 3.85 mata kepada 1,507.10, seterusnya bergerak antara 1,501.11 dan 1,507.47 sepanjang sesi dagangan pagi.

Pasaran secara keseluruhan negatif berikutan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 490 berbanding 327 manakala 390 kaunter tidak berubah, 1,138 tidak diniagakan dan 25 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.48 bilion unit bernilai RM832.22 juta.

Menurut laporan berita, pelabur sedang memantau perkembangan terkini mengenai tarif oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump termasuk pelaksanaan tarif sebanyak 50 peratus ke atas import keluli dan aluminium yang dijadualkan berkuat kuasa pada Rabu.

“Dengan industri melobi agar perlindungan tersebut diperluaskan kepada produk yang diperbuat daripada bahan itu, penganalisis menjangka harga kebanyakan barangan asas akan meningkat,” menurut laporan itu. 

Sementara itu, Maybank Investment Bank berkata tumpuan pelabur kini beralih kepada sektor yang lebih berdaya tahan dalam pasaran yang keseluruhannya lemah.

Katanya indeks amanah pelaburan hartanah (REIT) kekal kukuh dan hampir kepada paras tertinggi baharu dalam tempoh 52 minggu.

“Dari segi teknikal, kami menjangka indeks petunjuk pasaran berada antara 1,495 dan 1,515 mata hari ini, dengan paras sokongan kekal pada 1,500-1,440 mata,” menurut bank pelaburan itu. 

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, PPB merosot 26 sen kepada RM10.92, Sime Darby berkurangan 3.0 sen kepada RM1.70, RHB Bank susut 9.0 sen kepada RM6.39, QL Resources menurun 6.0 sen kepada RM4.34 dan MR DIY merosot 2.0 sen kepada RM1.57.

Bagi saham aktif, TWL menambah setengah sen kepada 2.5 sen dan Tanco meningkat 1.0 sen kepada RM1.01 manakala Bintai dan NexG, masing-masing mendatar pada 7.5 sen dan 37.5 sen serta Reservoir Link Energy naik setengah sen kepada 35.5 sen. 

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 9.29 mata kepada 11,245.16, Indeks FBMT 100 merosot 7.51 mata kepada 11,015.21 dan Indeks FBM ACE susut 30.66 mata kepada 4,451.15.

Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 10.58 mata kepada 11,199.57 manakala Indeks FBM 70 merosot 16.42 mata kepada 16,125.74.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 22.79 mata kepada 17,739.84, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.48 mata kepada 149.60 dan Indeks Perladangan susut 24.96 mata kepada 7,193.92 manakala Indeks Tenaga naik 1.11 mata kepada 700.07.

-- BERNAMA