BERITA TERKINI   Sekolah Angkat MADANI: Tokoh korporat dan penaja digalak turun padang santuni pelajar, kongsi pengalaman – PM Anwar | Lebih 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia nikmati kadar elektrik lebih adil - Suruhanjaya Tenaga | Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baharu | Rizab antarabangsa BNM berjumlah US$119.9 bilion pada 13 Jun, 2025, berbanding US$119.60 bilion yang dicatatkan pada 30 Mei 2025 | Penapis, pengilang gula di Malaysia boleh mohon pengecualian cukai kepada Jabatan Kastam - Kementerian Kewangan | 

Kehadiran Bank Utama Malaysia Di Laos Cermin Keyakinan Kukuh Pelabur - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Kehadiran empat bank utama Malaysia di Laos mencerminkan keyakinan kukuh pelabur terhadap kestabilan politik dan dasar menarik negara itu, terutamanya cara Bank Pusatnya mengurus institusi kewangan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata empat bank utama Malaysia yang beroperasi di Laos itu ialah Malayan Banking Bhd, RHB Bank Bhd, CIMB Group and Public Bank Bhd.

Beliau berkata demikian menerusi satu sidang media bersama susulan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Laos Sonexay Siphandone  yang sedang dalam rangka lawatan rasmi ke Malaysia.

Menurut beliau, kehadiran bank utama itu sudah pastinya akan menarik minat syarikat Malaysia untuk melabur di Laos, Kemboja dan Thailand.

Sementara itu, Anwar berkata Malaysia dan Laos turut membincangkan isu berkaitan kerjasama dari segi latihan dalam semua bidang termasuk pengurusan pelabuhan.

“Saya maklumkan bahawa Pelabuhan Pulau Pinang dan sudah tentu Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) pastinya akan membantu untuk memastikan terdapat kerjasama yang lebih berkesan dalam latihan dan juga berkongsi kepakaran bersama kami,” kata beliau. 

Kedua-dua pemimpin turut membincangkan tentang isu buruh, digital, kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, dan tenaga alternatif, termasuk nadir bumi.

Selain itu, kedua-dua kerajaan juga mengalu-alukan kemajuan Memorandum Kerjasama antara KTMB (Keretapi Tanah Melayu Bhd), LNRESE (Lao National Railway State Enterprise) dan State Railway of Thailand melibatkan tren ASEAN Express, yang dijangka dapat mengurangkan dengan ketara masa perjalanan merentas negara ASEAN dan ke China.

Anwar berkata beliau dan Sonexay akan menghadiri mesyuarat ASEAN yang akan datang, diikuti  pertemuan dengan wakil Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan sesi pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri China Li Qiang.

-- BERNAMA