BERITA TERKINI   Sukan SEA 2025: Skuad gimnastik berirama negara raih emas acara berpasukan | Ketegangan sempadan Kemboja-Thailand : Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN ditangguhkan kepada Isnin (22 Dis) - Wisma Putra | Kerajaan yakin rundingan dengan kerajaan negeri Terengganu berhubung isu FGV akan dapat dicapai demi kepentingan peneroka - TPM Ahmad Zahid | 53.9 peratus lepasan SPM pilih sektor TVET, hampiri sasaran 70 peratus menjelang akhir RMK13 - TPM Ahmad Zahid | 

Untung Bersih Westports Naik Sembilan Peratus Kepada RM222.46 Juta Pada Suku Pertama 2025

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Keuntungan bersih Westports Holdings Bhd pada suku pertama yang berakhir 31 Mac 2025 meningkat sebanyak sembilan peratus kepada RM222.46 juta daripada RM204.51 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Perolehan pula melonjak kepada RM621.3 juta daripada RM543.15 juta sebelumnya.

Pengendali pelabuhan itu berkata perdagangan serantau intra-Asia menjadi asas kepada jumlah kontena Westports berikutan laluan perdagangan tersebut menyumbang 63 peratus daripada jumlah yang dikendalikan.

"Segmen konvensional mengendalikan dan memudahkan pengendalian 2.95 juta metrik tan kargo pukal dengan peningkatan ketara dalam aktiviti kargo pukal cecair seperti produk berkaitan minyak sawit, gas petroleum cecair dan bahan bakar," kata pengendali pelabuhan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Mengulas mengenai perang tarif yang sedang berlaku di antara Amerika Syarikat dengan China, Pengerusi Eksekutifnya Datuk Ruben Emir Gnanalingam berkata dengan kadar tarif antara negara perdagangan utama global meningkat ke tahap yang belum pernah dilihat selepas beberapa dekad globalisasi, tekanan inflasi yang terhasil boleh mengekang daya beli dan penggunaan pengguna.

Selain itu, katanya, ia juga boleh meningkatkan risiko kemelesetan bahkan kemelesetan ekonomi di negara-negara perdagangan utama.

"Perdagangan kontena yang lebih rendah berpotensi muncul sebagai kesan jangka pendek. Namun, penyusunan semula perdagangan serantau dan daya dinamik ekonomi Asia boleh sebahagiannya mengurangkan tekanan menurun ke atas jumlah kontena," katanya.

Beliau turut memberi panduan apabila "ejen ekonomi" menyesuaikan diri dengan pergolakan perdagangan yang berlaku dan unjuran yang tidak menentu, syarikat mengurangkan penilaian terhadap jumlah pengendalian tahun ini supaya hanya sepadan dengan jumlah pengendalian tahun sebelumnya.

"Kami akan menyemak semula panduan ini mengikut perkembangan tahun ini," katanya.

-- BERNAMA