BERITA TERKINI   Pulau Pinang tetapkan kadar zakat fitrah tahun ini kepada tiga kategori, RM10, RM15 dan RM25 - YDP Majlis Agama Islam Negeri | Syarikat perlu menguruskan risiko mata wang secara giat melalui strategi lindung nilai dan perniagaan yang sesuai - Johari Ghani | SPRM akan siasat mana-mana kes jika terdapat petunjuk baharu, walaupun diklasifikasikan tiada kes sebelum ini - Azam Baki | Penggunaan kamera badan oleh anggota penguatkuasa PBT di Wilayah Persekutuan dilaksanakan secara berfasa bermula suku keempat tahun ini - Hannah | Kerja SPRM adalah kembalikan wang rakyat yang diseleweng, MOF tentukan bagaimana wang tersebut disalurkan semula - Azam Baki | 

Malaysia Tidak Kenakan Tarif 47 Peratus Ke Atas Import AS, Purata Hanya 5.6 Peratus - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak dakwaan Amerika Syarikat (AS) bahawa Malaysia mengenakan tarif sebanyak 47 peratus ke atas import negara itu ke Malaysia.

Beliau berkata pengiraan itu dibuat berdasarkan nisbah mudah defisit dagangan AS dengan Malaysia ketimbang jumlah importnya dari Malaysia pada 2024.

Anwar berkata dakwaan ini telah digunakan sebagai asas oleh AS untuk mengenakan tarif timbal balas sebanyak 24 peratus ke atas Malaysia iaitu pengurangan 50 peratus ke atas tarif 47 peratus yang dikata dikenakan oleh Malaysia ke atas import dari negara itu.

"Kita menganggap pengiraan ini tidak mencerminkan tahap tarif sebenar dan tidak berlandaskan teori ekonomi yang kukuh. Hakikatnya secara purata, tarif dikenakan ke atas import barangan AS ke Malaysia hanyalah pada kadar 5.6 peratus.

"Ini diakui Pejabat Perwakilan Perdagangan Amerika Syarikat dalam laporan “2025 National Trade Estimate Report on Foreign Trade Barriers of the President of the United States on the Trade Agreements Program” yang diterbitkan 31 Mac 2025,” kata Perdana Menteri pada sesi penerangan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat berhubung tarif AS, hari ini.

Anwar berkata kerajaan mengambil serius terhadap tindakan pengenaan tarif timbal balas oleh AS.

"Oleh itu, mengambil kira kepentingan AS sebagai destinasi eksport dan sumber pelaburan asing terbesar Malaysia, kerajaan berpendirian bahawa sebarang cabaran terhadap hubungan perdagangan perlu ditangani secara pragmatik dan berteraskan kepentingan negara, di samping mengekalkan hubungan baik dengan semua rakan dagang Malaysia," kata beliau.

-- BERNAMA