BERITA TERKINI   Menara Merdeka 118 dilancarkan secara rasmi sebagai MD Nexus pertama di Malaysia - Gobind | Kementerian Digital fokus pada enam bidang berimpak untuk percepat transformasi digital pada separuh pertama 2026 - Gobind | Nilai ringgit kukuh kepada paras terbaik hampir 8 tahun pada RM3.92 berbanding dolar AS setakat 28 Jan 2026, kekal antara mata wang terbaik di Asia - Amir Hamzah | Pertumbuhan 2025 dianggarkan 4.9 peratus, perdagangan melebihi 6 peratus dan capai rekod tertinggi RM3 trilion - Amir Hamzah | Defisit 2025 dijangka capai sasaran 3.8 peratus dan turun kepada 3.5 peratus pada 2026 - Amir Hamzah | 

Pharmaniaga Yakin Akhiri Status PN17, Dipacu Operasi Berdaya Tahan Dan Strategi

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Pharmaniaga Bhd kekal yakin dapat mengakhiri status Nota Amalan 17 (PN17), didorong oleh operasi perniagaan berdaya tahan serta strategi pemulihan yang menyokong kestabilan kemajuan kewangannya.

Dalam kenyataannya, kumpulan itu menyifatkan trajektori positif ini sebagai paparan asas dan pemulihan kewangannya yang kukuh sepertimana dalam penyata kewangan diaudit untuk tahun kewangan berakhir pada 31 Dis, 2024 (TK2024), yang dikeluarkan hari ini.

Pihak juruaudit telah membuat rujukan standard ke atas ketidaktentuan material atau penting yang berkaitan dengan kebimbangan yang lazim terhadap syarikat-syarikat sedang melalui fasa pemulihan, namun sebaliknya mengeluarkan pandangan dan memaparkan keyakinan terhadap perkembangan kumpulan itu.

Pengarah Urusan Pharmaniaga Zulkifli Jafar berkata walaupun kumpulan menghargai pendapat juruaudit, ia tetap yakin dengan pemulihannya bersandarkan momentum operasi yang kukuh serta merentas segmen perniagaannya.

“(Kejayaan) mencatat semula keuntungan dalam tahun kewangan 2024 selain kelulusan pelan regularisasi kami, jelas membuktikan kami di landasan yang tepat.

“Asas operasi yang mantap, peningkatan minat pelabur dan kemajuan dalam biofarmaseutikal telah memberi kami alasan untuk berasa optimis," katanya.

Pada Isnin, Pharmaniaga melaporkan keuntungan bersih sebanyak RM131.82 juta untuk tahun kewangan 2024, sekali gus mengatasi kerugian bersih RM80.16 juta dalam tahun kewangan 2023. 

Perolehan hasil turut meningkat kepada RM3.75 bilion daripada RM3.40 bilion pada tahun sebelumnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata juruaudit bebasnya Messrs Ernst & Young PLT, telah mengeluarkan kenyataan ketidakpastian material berkaitan kebimbangan berterusan dalam laporan mereka bertarikh 26 Mac 2025, mengenai penyata kewangan bagi tahun kewangan 2024.

“Kami merujuk Nota 2 dalam kenyataan kewangan yang menunjukkan liabiliti semasa kumpulan dan syarikat masing-masing melebihi aset semasa sebanyak RM748.8 juta dan RM827.2 juta selain mencatat kekurangan modal sebanyak RM145.9 juta pada 31 Dis, 2024.

“Perkembangan atau keadaan ini serta perkara lain dinyatakan dalam Nota 2(a), menunjukkan kewujudan ketidaktentuan material yang berkemungkinan mencetuskan keraguan terhadap keupayaan kumpulan dan syarikat untuk terus dilihat sebagai membimbangkan.

“Bagaimanapun, kenyataan kewangan berkenaan telah disediakan berdasarkan asas kebimbangan berterusan yang secara material bergantung kepada kejayaan serta pelaksanaan cadangan pelan regularisasi serta sokongan berterusan daripada peminjam,” kata juruaudit itu.

-- BERNAMA