BERITA TERKINI   Gangguan bekalan stesen penjana di Melaka punca beberapa kawasan di Lembah Klang, Johor Bahru putus bekalan elektrik - TNB | Pelaku jenayah dalam kawasan sekolah akan dihadapkan ke muka pengadilan - Saifuddin Nasution | PDRM jamin siasatan telus, profesional insiden jenayah dalam kawasan sekolah - Saifuddin Nasution | Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor berjaya tarik minat 104 pelabur berpotensi dengan anggaran pelaburan berjumlah RM29.51 bilion setakat ini - PM Anwar | JS-SEZ terus tunjuk momentum luar biasa tarik pelaburan strategik antarabangsa, catat pelaburan diluluskan cecah RM37 bilion pada separuh pertama tahun ini - PM Anwar | 

Fitch Turunkan Unjuran Pertumbuhan Global Dalam Persekitaran Perang Dagang

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Fitch Ratings menurunkan unjuran pertumbuhan global bagi 2025 dengan ketara sebanyak 0.4 mata peratusan (pp), manakala unjuran bagi China dan Amerika Syarikat (AS) dikurangkan sebanyak 0.5 pp pada laporan suku tahun Global Economic Outlook edisi Mac.

Dalam satu kenyataan hari ini, firma penarafan itu berkata ketegangan perang perdagangan global yang meningkat dengan ketara susulan kebimbangan terhadap tarif akan memberi kesan besar terhadap aliran perdagangan antara AS dan China.

Firma itu turut menjelaskan dalam jangka masa terdekat, ruang untuk penggantian import atau pengalihan perdagangan adalah terhad, sekali gus boleh menyebabkan kejutan bekalan yang ketara di AS.

“Unjuran inflasi AS kami telah meningkat kepada lebih empat peratus, yang menunjukkan kemungkinan berlaku pergerakan mendatar dalam gaji sebenar.

“Ketidaktentuan dasar ketika ini menjejaskan prospek pelaburan perniagaan, penurunan harga ekuiti telah mengurangkan kekayaan isi rumah, dan pengeksport AS bakal terkesan akibat tindakan balas,” kata kenyataan itu.

Menurut Fitch Ratings, ekonomi China berkembang lebih pantas daripada jangkaan tahun lepas, namun perdagangan bersih menyumbang satu pertiga daripada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu.

 Ia berkata sumbangan ini dijangka menyusut dengan ketara apabila pengeksport menghadapi kesukaran untuk mengalihkan pasaran dalam masa terdekat.

Sementara itu, kemerosotan sektor pembinaan rumah dan tekanan deflasi masih berterusan di China, namun pelonggaran dasar fiskal dan monetari dijangka akan dipergiatkan.

“Kami juga menjangkakan sebahagian hasil tambahan oleh AS akan digunakan semula dalam ekonomi domestik dalam tempoh 18 bulan akan datang, termasuk menerusi pemotongan cukai.

“Namun, apabila pertumbuhan dua ekonomi terbesar dunia perlahan, kesannya akan dirasai di seluruh dunia. Ini menjadi sebab kami menurunkan unjuran pertumbuhan secara menyeluruh,” katanya.

-- BERNAMA