BERITA TERKINI   Kerajaan galak pemilik EV memasang pengecas di kediaman kerana kos pengecasan jauh lebih murah - Johari | Pembangunan infrastruktur pengecas EV menghadapi cabaran kos pemasangan yang tinggi sehingga RM210,000 terutama pengecas DC - Johari | Sebanyak 5,624 pengecas awam EV dipasang hingga 31 Dis, 2025, mencapai 56 peratus daripada sasaran keseluruhan - Johari | Ketika Parlimen bersedia untuk mempertimbangkan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara, peralihan itu akan teratur, berasaskan bukti dan berpaksikan kepentingan negara - PM Anwar | Pengukuhan ringgit mencerminkan keyakinan terhadap institusi, hala tuju dasar dan kepercayaan bahawa negara ditadbir dengan disiplin dan matlamat yang jelas - PM Anwar | 

Pasaran Getah Tempatan Ditutup Rendah Seiring Negara Serantau

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia terus ditutup lebih rendah pada Rabu, dipengaruhi oleh penurunan pasaran niaga hadapan getah serantau, kata peniaga.

Katanya, sentimen pasaran turut terjejas oleh penurunan mendadak harga minyak yang dicetuskan oleh kebimbangan mengenai perang perdagangan global yang semakin meruncing.

Harga minyak mentah Brent merosot 3.55 peratus kepada US$60.66 setong.

“Bagaimanapun, penurunan selanjutnya dihadkan oleh keyakinan terhadap lebih banyak rangsangan dari China dan gangguan bekalan getah asli (NR) daripada negara pengeluar utama NR berikutan musim daun pokok getah luruh,” katanya kepada Bernama. 

Peniaga itu turut menyentuh mengenai niaga hadapan getah Jepun yang menyusut kepada paras terendah lebih satu tahun pada Rabu, ketika tarif 104 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas import dari China meningkatkan perang perdagangan global dan mencetus kebimbangan mengenai kelembapan ekonomi.

Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan harga Standard Malaysia Rubber (SMR) 20 susut 32.5 sen kepada 738.5 sen sekilogram (kg), manakala lateks pukal turun 7.0 sen kepada 655.5 sen sekilogram.

-- BERNAMA