BERITA TERKINI   Perkhidmatan tren LRT antara Stesen Universiti dan Abdullah Hukum alami gangguan bekalan kuasa, kerja baik pulih sedang dijalankan - RapidKL | PKS perlu terima pakai teknologi baru muncul seperti AI, robotik dan automasi, pengkomputeran kuantum, IoT dan Gen-AI untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam rantaian bekalan global - Tengku Zafrul | Dewan Rakyat lulus RUU Agensi Persendirian (Pindaan) 2025, tambah baik proses pengeluaran, pembaharuan lesen perniagaan agensi persendirian | Polis jangka sebanyak 2.1 juta kenderaan akan berada di atas jalan raya sempena cuti Deepavali bermula 18 Okt ini - Pengarah JSPT Bukit Aman | Ops Lancar sempena sambutan Deepavali akan dilaksanakan bermula 17 hingga 21 Okt - Pengarah JSPT Bukit Aman | 

CAB Cakaran Buka Cawangan Pasar Raya Ke-15, Rancang 100 Lagi Dalam 10 Tahun Akan Datang

GEORGE TOWN, 26 Mac (Bernama) -- Satu daripada pengeluar makanan terbesar di Malaysia, CAB Cakaran Corporation Bhd, mengembangkan jejak runcitnya dengan pembukaan pasar raya bersaiz sederhana ke-15, Home Mart Fresh & Frozen Sdn Bhd, di Sri Rambai, Bukit Mertajam.

Pengembangan itu mengukuhkan kehadiran runcit CAB Cakaran di Malaysia apabila syarikat itu kini mengurus lapan cawangan Home Mart milikan penuh dan memegang 58.02 peratus kepentingan dalam tujuh cawangan pasar raya Jaya Gading.

Dalam kenyataan hari ini, CAB Cakaran menjelaskan pihaknya merancang untuk membuka sehingga tujuh lagi cawangan Home Mart tahun ini, bergantung kepada keupayaan untuk mendapatkan lokasi di pinggir bandar Semenanjung Malaysia.

Pengarah Urusan Kumpulan Christopher Chuah Hoon Phong berkata strategi jangka masa panjang syarikat adalah membina rangkaian cawangan yang luas di seluruh Semenanjung Malaysia sebagai saluran pengedaran utama untuk produknya.

“Melalui cawangan runcit, kami boleh menjual kira-kira 200 ekor ayam setiap hari bagi setiap pasar raya. Kami berpandangan ini sebagai cara yang menjimatkan kos untuk mengukuhkan kehadiran kami dalam perniagaan makanan.

“Strategi jangka masa panjang kami adalah membuka 50 hingga 100 cawangan lagi dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang,” katanya.

Pada masa ini, 15 cawangan Home Mart dan Jaya Gading oleh CAB Cakaran terletak di Pahang, Kelantan, Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

Baru-baru ini syarikat itu melaporkan keuntungan bersih sebanyak RM33.89 juta dengan perolehan mencecah RM593.61 juta bagi suku pertama berakhir 31 Dis, 2024.

Perniagaan teras CAB Cakaran termasuk pembiakan dan penternakan stok induk dan ayam pedaging, perniagaan makanan ternakan dan bahan habis pakai ladang; pemprosesan ayam; dan perniagaan produk makanan berasaskan daging yang diproses.

-- BERNAMA