Bursa Malaysia Kekal Rendah Pada Tengah Hari Seiring Prestasi Lemah Serantau
KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal rendah pada tengah hari, seiring prestasi pasaran serantau yang lebih lemah.
Pada 12.30 tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI susut 5.46 mata atau 0.32 peratus kepada 1,721.81 daripada paras 1,727.27 ketika ditutup semalam.
Indeks penanda aras itu yang dibuka 0.33 mata lebih rendah pada 1,726.94, bergerak antara 1,716.70 hingga 1,727.50 sepanjang sesi dagangan pagi.
Sentimen pasaran kekal negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 704 berbanding 299, manakala 538 kaunter tidak berubah, 1,176 tidak diniagakan dan 15 digantung.
Jumlah dagangan mencatat 2.34 bilion unit bernilai RM2.07 bilion.
Malacca Securities Sdn Bhd berkata dalam nota penyelidikan bahawa susulan kelemahan berterusan di Wall Street, sentimen negatif dijangka turut memberi kesan kepada pasaran tempatan hari ini.
Dari sudut teknikal, firma itu berkata FBM KLCI terus menunjukkan tanda kelemahan, apabila beberapa petunjuk pasaran memberikan isyarat negatif.
"Paras rintangan dilihat pada 1,742 hingga 1,747, manakala paras sokongan pada 1,707 hingga 1,712,” katanya.
Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Bhd berkata seiring kelemahan Wall Street, FBM KLCI dijangka kekal tidak menentu dan dipacu sentimen, ditekan oleh kenaikan hasil bon serta gencatan senjata AS–Iran yang rapuh, di tengah-tengah ketidaktentuan arah pasaran global.
“Tekanan luaran serta kemuncak musim keputusan pendapatan suku pertama 2026, peningkatan ketidaktentuan politik domestik serta jualan asing yang kembali meningkat terus memperkukuh kecenderungan penghindaran risiko,” katanya.
Beliau berkata justeru itu, penurunan dijangka mendapat sokongan sekitar paras 1,700.
Dalam pada itu, Bursa Malaysia dan anak syarikatnya akan ditutup pada 27 Mei sempena cuti umum Hari Raya Aidiladha, dan akan dibuka semula pada 28 Mei.
Pasaran juga akan ditutup pada 1 dan 2 Jun sempena cuti Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong dan Hari Wesak, sebelum beroperasi semula pada 3 Jun.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Tenaga Nasional naik dua sen kepada RM14.54, Public Bank susut satu sen kepada RM4.78, CIMB turun tiga sen kepada RM7.81, IHH Healthcare merosot lima sen kepada RM8.95, manakala Maybank tidak berubah pada RM11.08.
Bagi kaunter paling aktif, pendatang baharu Pasaran Utama SkyeChip Bhd meningkat RM1.75 kepada RM2.63, Capital A naik satu sen kepada 45 sen, manakala Hong Seng Consolidated dan Zetrix AI masing-masing susut setengah sen kepada 0.5 sen dan 83 sen, sementara Oppstar tidak berubah pada 82.5 sen.
Antara kaunter untung utama, Sunway Construction naik 19 sen kepada RM7.49, Malaysian Pacific Industries melonjak RM1.00 kepada RM44.20, Nestle meningkat 40 sen kepada RM95.44, UMS Integration menambah 20 sen kepada RM8.18 dan Allianz Malaysia naik 16 sen kepada RM21.62.
Dalam kalangan kaunter rugi utama, Petronas Dagangan susut 48 sen kepada RM18.72, Petronas Gas jatuh 46 sen kepada RM17.26, Wasco merosot 17.5 sen kepada 92.5 sen, Hong Leong Financial Group turun 16 sen kepada RM18.44 dan Keck Seng berkurang 12 sen kepada RM5.25.
Pada papan indeks, Indeks FBM Emas susut 56.61 mata kepada 12,747.09, Indeks FBM Top 100 turun 53.18 mata kepada 12,586.90, Indeks FBM ACE merosot 24.27 mata kepada 4,682.32, Indeks FBM Emas Shariah berkurang 61.70 mata kepada 12,673.46 dan Indeks FBM Mid 70 turun 133.76 mata kepada 18,242.16.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 47.40 mata kepada 20,035.66, Indeks Tenaga turun 9.43 mata kepada 793.62, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.86 mata kepada 199.73, manakala Indeks Perladangan meningkat 24.57 mata kepada 8,645.51.
-- BERNAMA