BERITA TERKINI   MTL: Pusat Kawalan Operasi Bencana di semua peringkat akan diaktifkan lebih awal, pastikan pemantauan, koordinasi berjalan lancar - TPM Ahmad Zahid | PM seru anak muda Malaysia terajui langkah tolak rasuah, dukung tadbir urus baik untuk pulihkan integriti | Malaysia raih potensi perdagangan dan pelaburan bernilai RM24.45 bilion di Expo 2025 Osaka, 188 peratus melebihi sasaran RM13 bilion - Ketua Setiausaha MITI | Ketua jabatan dibenar pertimbang permohonan bekerja dari rumah bagi pegawai terkesan kesesakan trafik semasa Sidang Kemuncak ASEAN - JPA | Pavilion Malaysia di Expo 2025 Osaka menerima jumlah pengunjung yang mencatat rekod sebanyak 3.51 juta, jauh melebihi sasaran 1.5 juta orang - Ketua Setiausaha MITI | 

AI Mampu Tingkatkan KDNK Malaysia Sebanyak US$115 Bln Menjelang 2030 - Emir Research

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Kecerdasan buatan (AI) boleh menambah sekitar US$115 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia menjelang 2030, memberi manfaat bukan sahaja kepada sektor pembuatan tetapi juga sektor penjagaan kesihatan, pertanian dan kewangan, kata pengasas EMIR Research, Dr Rais Hussin.

Beliau berkata bagi merealisasikannya, Malaysia memerlukan infrastruktur digital yang mantap, tadbir urus AI beretika dan pelaburan khusus dalam penyelidikan dan latihan kemahiran.

Sebagai pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia boleh menerajui rantau ini dengan membentuk piawaian tadbir urus data, mempromosikan penyelidikan dan pembangunan (R&D) merentas sempadan, mewujudkan dasar untuk mobiliti bakat dan memastikan AI beretika, pusat data mampan dan inisiatif keselamatan kuantum, kata Rais.

Inisiatif keselamatan kuantum bermaksud usaha bersepadu oleh kerajaan, organisasi dan penyelidik untuk membangun dan melaksanakan langkah keselamatan untuk melindungi data sensitif.

“Peluasan pusat data Malaysia khususnya di Johor akan menjadikan negara sebagai hab serantau utama untuk penyimpanan data.

“Bagaimanapun, kemudahan yang memerlukan banyak tenaga elektrik ini menimbulkan kebimbangan alam sekitar yang mesti ditangani. Antara inisiatif boleh digunakan adalah menggunakan tenaga boleh baharu dan teknik penyejukan lanjutan serta meneroka reaktor modular kecil untuk menggerakkan kemudahan ini secara mampan," katanya.

Dengan mengekalkan pendirian terbuka melalui neutraliti aktif, Rais berkata Malaysia boleh menarik kedua-dua penyedia perkhidmatan pengkomputeran awan dari negara barat dan timur, memastikan persaingan sihat, pemindahan teknologi dan pelaburan yang pelbagai.

Beliau berkata Pulau Pinang telah lama menjadi tumpuan dalam rantaian bekalan semikonduktor global, mengkhusus dalam pemasangan, ujian dan pembungkusan dan langkah seterusnya ialah meningkatkan rantaian nilai ke dalam fabrikasi wafer, reka bentuk litar bersepadu dan R&D yang mantap.

“Ini memerlukan perkongsian antara kerajaan dan industri yang menyediakan insentif cukai, program peningkatan kemahiran khusus dan kemudahan R&D baharu.

“Dengan memberi tumpuan kepada aktiviti bernilai lebih tinggi, Malaysia mengukuhkan kedudukannya dalam ekosistem teknologi global, mengurangkan risiko terlalu bergantung pada pembuatan yang menghasilkan keuntungan rendah,” katanya.

-- BERNAMA