BERITA TERKINI   BN tidak pernah goyah, tetap rakan setia dalam Kerajaan Perpaduan - TPM Ahmad Zahid | BN sedia laksana penjenamaan semula berikutan kekangan peruntukan perlembagaan gabungan - TPM Ahmad Zahid | Penting bagi Kemboja, Thailand berpegang kepada semangat dialog, kebijaksanaan bagi redakan ketegangan kedua-dua negara - Anwar | Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN diadakan susulan persetujuan yang dicapai PM Malaysia, Kemboja dan Thailand pada 11 Dis - Wisma Putra | Malaysia selaku Pengerusi ASEAN bakal anjur Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN mengenai situasi terkini antara Kemboja dan Thailand di Kuala Lumpur pada 22 Dis - Wisma Putra | 

Niaga Hadapan KLCI Dijangka Menunjukkan Momentum Meningkat Minggu Depan

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka terus menunjukkan momentum meningkat minggu depan, menjejaki pasaran tunai asas.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks penanda aras dijangka diniagakan dalam julat antara 1,650-1,680, walaupun dagangan lengang sempena cuti Krismas dan akhir tahun. 

“Pada minggu ini, indeks telah berjaya melepasi paras 1,650, disokong oleh peningkatan penyertaan pasaran, sekali gus terus mengukuhkan lagi pergerakan.

“Kejayaan kekal melebihi 1,650, akan membuka laluan ke arah julat 1,670-1,680 dalam fasa seterusnya,” katanya kepada Bernama.

Beliau juga percaya sebarang penurunan minggu depan harus dilihat sebagai peluang untuk membeli berdasarkan kelemahan, dengan indeks berada pada kedudukan yang baik untuk mencabar tahap yang lebih tinggi pada sesi akan datang. 

 Pada asas Jumaat kepada Jumaat, kontrak Disember 2025 meningkat 23 mata kepada 1,668.50, kontrak Januari 2026 naik 24.5 mata kepada 1,672.0, kontrak Mac 2026 menambah 23.5 mata kepada  1,655.50, dan kontrak Jun 2026 menokok 30.5 mata kepada 1,662.50.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 36,11 lot daripada 40,352 lot pada Jumaat lepas, manakala kepentingan terbuka menambah kepada 46,114 kontrak daripada 43,035 kontrak sebelumnya. 

FBM KLCI meningkat 28.09 mata kepada 1,665.90 berbanding 1,637.81 minggu lepas.

-- BERNAMA