BERITA TERKINI   Perolehan Gamuda Bhd melonjak kepada RM4.30 bilion bagi suku kedua berakhir 31 Jan, 2026 daripada RM3.90 bilion bagi suku sama tahun kewangan 2025 | Untung bersih Gamuda Bhd bagi suku kedua berakhir 31 Jan, 2026 meningkat kepada RM229.52 juta daripada RM218.84 juta pada suku sama tahun kewangan 2025 | Kerajaan Persekutuan lulus peruntukan RM150 juta baik pulih Baraj Sungai Sarawak - PM Anwar | 

Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia Naik Kepada 2.1 Peratus Pada Januari 2025 - DOSM

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia (IPP) meningkat kepada 2.1 peratus tahun ke tahun, dipacu pertumbuhan output sektor pembuatan, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan IPP terutamanya disumbangkan oleh pertumbuhan output dalam sektor pembuatan yang meningkat pada kadar lebih perlahan 3.7 peratus berbanding 5.8 peratus pada Disember 2024.

“Sebaliknya, pengeluaran sektor perlombongan dan elektrik masing-masing merekodkan penurunan iaitu 3.1 peratus (Disember 2024: 0.9 peratus) dan 0.1 peratus (Disember 2024: 3.5 peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya bagi perbandingan dengan bulan sebelumnya, IPP pada Januari 2025 masih menguncup pada kadar yang sama seperti bulan sebelumnya iaitu negatif 0.4 peratus.

Mengulas mengenai prestasi sektor perlombongan Mohd Uzir berkata penguncupan 3.1 peratus dalam sektor perlombongan pada Januari 2025 adalah didorong oleh penurunan dua digit 10.0 peratus dalam output petroleum mentah dan kondensat (Disember 2024: -6.5 peratus) manakala pengeluaran gas asli mengekalkan pertumbuhan stabil 1.4 peratus (Disember 2024: 5.9 peratus).

Sementara itu, menurutnya indeks elektrik merosot pada kadar 0.1 peratus pada Januari 2025 berbanding peningkatan 3.5 peratus pada bulan sebelumnya.

-- BERNAMA