BERITA TERKINI   PRK Kinabatangan, Lamag: pusat pengundian awal ditutup pada 5 petang ini - SPR | Terbitan bon korporat Malaysia diunjurkan sebanyak RM130 bilion–RM140 bilion pada 2026, melebihi purata sejarah RM122 bilion -- RAM Ratings | PRK Kinabatangan: Sebanyak 89.42 peratus keluar mengundi bagi undi awal setakat 3 petang - SPR | PRK Lamag: Sebanyak 89.89 peratus keluar mengundi bagi undi awal setakat 3 petang - SPR | Maybank memperuntukkan RM10 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang untuk memodenkan dan memantapkan teknologinya - Presiden Kumpulan Khairussaleh Ramli | 

Sime Darby Property Yakin Dengan Pengembangan Pusat Data Walaupun Terdapat Tarif Semikonduktor AS

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Sime Darby Property Bhd (SDP) kekal yakin dengan perniagaan pusat data mereka walaupun terdapat kebimbangan mengenai tarif semikonduktor Amerika Syarikat (AS) dan sekatan eksport cip kecerdasan buatan (AI), dengan memetik pengecualian untuk syarikat-syarikat AS yang beroperasi di Malaysia.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Azmir Merican berkata projek-projek pusat data syarikat itu disokong oleh pengendali berskala besar AS termasuk Google, yang layak untuk mendapat pengecualian di bawah peraturan AS.

“Kami berurusan dengan syarikat berskala besar AS. Berdasarkan komunikasi kami dengan Google, kami tidak melihat sebarang isu yang timbul. Projek-projek ini terus berjalan seperti yang dirancang, dan kami komited untuk meneruskan lebih banyak pembangunan berkaitan pusat data jika keadaan ekonomi bersesuaian,” katanya pada taklimat media secara dalam talian mengenai tahun kewangan kumpulan 2024 (TK2024) hari ini.

Azmir berkata SDP telah memperuntukkan nilai pajakan jangka panjang sebanyak RM7.6 bilion daripada projek pusat data mereka dalam tempoh dua dekad akan datang, mengukuhkan hasratnya untuk mewujudkan aliran pendapatan berulang yang stabil.

Beliau berkata syarikat menjangkakan pusat data pertama akan mula menyumbang kepada pendapatan pada 2026, dengan kemudahan kedua dijangka menyusul pada 2027.

Tanpa sebarang pendedahan mengenai butiran perbelanjaan modal, beliau berkata SDP kekal fokus untuk mendapatkan pulangan jangka panjang dan mampan daripada sektor infrastruktur digital yang semakin berkembang.

Bagi TK 2024 berakhir  31 Disember, 2024, keuntungan bersih syarikat meningkat 23.1 peratus kepada RM502.20 juta berbanding RM407.91 juta pada TK 2023, manakala hasil bertambah kepada RM4.25 bilion daripada RM3.44 bilion pada tahun sebelumnya, dengan semua segmen mencatatkan pertumbuhan.

Azmir berkata SDP telah mencatatkan prestasi kewangan dan operasi yang terbaik setakat ini, menandakan tahun ketiga berturut-turut merekodkan pendapatan, keuntungan, dan prestasi jualan yang cemerlang.

"Prestasi kewangan kukuh kumpulan kali ini disokong oleh momentum jualan yang mampan, kemajuan tapak yang lebih tinggi dalam segmen pembangunan hartanah, dan sumbangan pendapatan yang semakin meningkat daripada segmen pelaburan, pengurusan aset, dan senggang," tambahnya.

-- BERNAMA