BERITA TERKINI   Sukan SEA 2025: Atlet lontar peluru wanita negara Nani Sahirah Maryata cipta kejutan rangkul emas, pecah rekod kebangsaan dengan catatan 16.36 meter | Ringgit ditutup dengan terus melonjak, mencecah 4.09 berbanding dolar AS - paras paling kukuh dalam tempoh empat tahun dan tujuh bulan | MCMC peruntuk dana RM310 juta bangunkan infrastruktur kesalinghubungan inisiatif Bandar Pintar Negeri Melaka - Fahmi  | Belanjawan Sabah 2026: Penjawat awam negeri terima Bantuan Khas Kewangan sebulan gaji atau minimum RM2,000 - Masidi | Belanjawan Sabah 2026 catat belanjawan lebihan RM28 juta – Masidi Manjun | 

Pasaran Getah Kekal Tidak Menentu Minggu Depan Berikutan Kebimbangan Bekalan

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia dijangka kekal tidak menentu minggu depan selepas menerima penunjuk bercampur-campur dari pasaran serantau dan kebimbangan terhadap kekangan bekalan, menurut Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia.  

Harga getah mungkin akan terjejas dengan bekalan getah asli yang agak terhad disebabkan musim dingin dan hujan, selain usaha pemain pasaran yang sedang menjejaki pergerakan niaga hadapan getah serantau serta pertukaran asing.

“Terdapat banyak kebimbangan yang berkaitan dengan tarif perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan hubungan perdagangan AS-China, ditambah pula dengan rundingan damai Rusia-Ukraine, yang boleh menyebabkan ketidakstabilan di pasaran niaga hadapan getah serantau serta harga minyak mentah,” kata persatuan itu kepada Bernama.

Sementara itu, pakar industri Denis Low meramalkan pasaran getah akan diniagakan lebih tinggi minggu depan susulan aktiviti pengumpulan inventori di tengah-tengah keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Perubahan iklim dan turun naik suhu akan menganggu pengeluaran getah sehingga menyebabkan harga naik. Satu lagi faktor penyumbang kepada pengeluaran yang lebih perlahan ialah kedatangan bulan Ramadan, yang mana aktiviti menoreh mungkin berkurangan.

“Oleh itu, kami menjangkakan aktiviti stok yang lebih tinggi sebelum bekalan mula terjejas,” katanya. 

 Dari Jumaat ke Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia untuk SMR 20 jatuh 6.5 sen kepada 914.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal menambah 16.5 sen kepada 712.5 sen sekilogram.

-- BERNAMA