BERITA TERKINI   Untung bersih Affin Bank meningkat 1.5 peratus kepada RM135.49 juta pada suku pertama 2026 daripada RM124.08 juta sebelum ini | Agong berkenan dipersembahkan buku terbitan Bernama di Istana Negara hari ini | Gold Li Holdings Bhd mula disenaraikan di Pasaran ACE pada 12 sen, satu sen lebih rendah daripada harga IPO sebanyak 13 sen, dengan 3.09 juta saham diniagakan | 

Malaysia, Kemboja Bincang Penubuhan Jawatankuasa Perdagangan Bersama - Tengku Zafrul

KOTA TINGGI, 28 Feb (Bernama) -- Malaysia dan Kemboja telah membincangkan cadangan untuk menubuhkan Jawatankuasa Perdagangan Bersama Malaysia-Kemboja (JTC) untuk mengoptimumkan promosi perdagangan, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata JTC juga mampu menjadi platform untuk mewujudkan peluang pelaburan dan meningkatkan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.

Tengku Zafrul berkata demikian dalam satu hantaran di platform X hari ini selepas bertemu Menteri Perdagangan Kemboja Cham Nimul sempena Permukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-31 di Desaru.

Beliau berkata Malaysia dan Kemboja berkongsi hubungan ekonomi yang mendalam dengan peningkatan jumlah perdagangan, aliran pelaburan, dan projek kerjasama dalam pelbagai sektor. 

"Pada tahun 2024 sahaja, jumlah perdagangan meningkat lebih 40 peratus, mencapai US$191 juta (US$1= RM4.453). 

"Ini mencerminkan pertumbuhan yang luar biasa dalam perdagangan dua hala antara Malaysia dan Kemboja," katanya.

Tengku Zafrul akan mempengerusikan Permukiman AEM ke-31 di Desaru dekat sini hari ini.

Ia dijangka dihadiri lebih 200 delegasi dari 10 negara anggota ASEAN termasuk Timor-Leste.

--BERNAMA