BERITA TERKINI   Bernama dipilih semula sebagai Ahli Lembaga Eksekutif OANA pada Perhimpunan Agung Ke-19nya di St. Petersburg | MPI: Bernama menang Perak dan Gangsa bagi Kategori Lintas Langsung Berita Radio Terbaik | MPI: Bernama Radio menang emas, perak dan gangsa bagi kategori Bicarawara Radio Terbaik. | MPI: Wartawan Penyiaran Radio Bernama Ahmad Irfan Che Mohd Ruzaidi menang gangsa bagi Kategori Dokumenteri Radio Terbaik | MPI: Wartawan Penyiaran Radio Bernama Nurliayana Farhah rangkul emas kategori Laporan Radio Terbaik | 

Untung Bersih Suku Ketiga AmBank Group Susut Kepada RM486.49 Juta

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- AMMB Holdings Bhd (AmBank Group) mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM486.49 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Dis 2024, susut daripada RM543.41 juta pada tahun sebelumnya.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, katanya penurunan ini terutamanya berikutan pendapatan rendah daripada perbankan Islam dan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, perolehan meningkat kepada RM1.24 bilion berbanding RM1.15 bilion, katanya.

Bagi sembilan bulan terkumpul tahun kewangan 2025, keuntungan bersih meningkat kepada RM1.49 bilion berbanding RM1.39 bilion manakala perolehan naik kepada RM3.65 bilion berbanding RM3.48 bilion.

Menurut AmBank Group pendapatan faedah bersih menokok 7.8 peratus tahun ke tahun kepada RM2.67 bilion, dipacu oleh pengembangan margin faedah bersih sebanyak 15 mata asas kepada 1.94 peratus dan pertumbuhan pinjaman dan pembiayaan 4.4 peratus.

Pendapatan bukan faedah menurun 2.3 peratus tahun ke tahun kepada RM972.6 juta, terutamanya berikutan ketiadaan keuntungan penjualan sekali sahaja daripada AmGeneral Insurance Bhd pada sembilan bulan pertama tahun kewangan 2024 dan keuntungan penjualan yang lebih rendah daripada Kumpulan Perbendaharaan dan Pasaran.

Ini sebahagiannya diimbangi oleh pendapatan fi yang lebih tinggi daripada perbankan perniagaan, pengurusan kekayaan dan perbankan pelaburan.

AmBank Group berkata pinjaman kasar, pendahuluan dan pembiayaan meningkat 4.4 peratus kepada RM137.1 bilion, didorong oleh pertumbuhan 15.2 peratus dalam pinjaman perbankan perniagaan.

Pendapatan asas sesaham meningkat 6.9 peratus kepada 44.99 sen manakala aset bersih sesaham menokok 28 sen kepada RM6.07.

Deposit pelanggan susut 2.8 peratus setakat ini pada tahun ini kepada RM138.4 bilion dalam keadaan bank ini terus berusaha untuk meningkatkan margin.

Deposit bermasa meningkat 4.7 peratus kepada RM93.8 bilion manakala baki akaun semasa dan simpanan (CASA) rendah 15.4 peratus kepada RM44.6 bilion, dengan campuran CASA 32.2 peratus.

  Ketua Pegawai Eksekutif Jamie Ling berkata AmBank Group berjaya mencapai satu lagi pendapatan suku yang kukuh dengan prestasi menggalakkan setakat ini pada tahun ini.

"Kami berjaya merekodkan pertumbuhan pinjaman yang kukuh, terutamanya dalam perbankan perniagaan dan pada masa sama menyederhanakan pertumbuhan perbankan runcit bagi mengurangkan risiko dan mengalihkan sumber modal kami dengan lebih menguntungkan selaras dengan strategi Winning Together (WT29) kami.

 "Mudah tunai kami kekal mencukupi, dan paras modal kami teguh," katanya sambil memaklumkan bank itu terus memberikan tumpuan kepada keutamaan strategik dan melaksanakan dengan baik pada tahun pertama strategi WT29.

-- BERNAMA