BERITA TERKINI   JDT juara Liga Super kali ke-12 berturut-turut, tewaskan DPMM FC 3-0 | Keputusan 40 peratus hasil Sabah muktamad, tiada rayuan difailkan, Kerajaan MADANI kekal komited tunai tuntutan di bawah MA63 - PM Anwar | Penutupan laluan Teluk Hormuz oleh Iran tidak menjejaskan tahap ketersediaan dan jaminan bekalan elektrik negara pada masa ini - TPM Fadillah | Bekalan gas dalam negara stabil dan mencukupi untuk menampung operasi loji jana kuasa. - TPM Fadillah | Sebanyak 85 peratus pengguna domestik di seluruh negara tidak akan terkesan dengan turun naik harga bahan api di pasaran antarabangsa - TPM Fadillah | 

Lebih 24,000 Pembayar Cukai Guna Sistem E-Invois, Libat Pengeluaran 173 Juta E-Invois - Lim

TELUK INTAN, 18 Feb (Bernama) -- Seramai 24,700 pembayar cukai telah menggunakan sistem e-invois yang melibatkan pengeluaran sekitar 173 juta e-invois bermula dari Fasa pertama pada 1 Ogos, 2024, sehingga 13 Februari 2025. 

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata bagi Fasa kedua yang bermula 1 Jan, 2025 lebih 11,600 pembayar cukai telah menggunakan sistem e-invois cukai setakat 13 Feb, manakala bagi Fasa tiga (bermula 1 Julai 2025) terdapat penyertaan awal secara sukarela daripada 7,700 pembayar cukai.

“Kerajaan yakin sistem ini dilihat berkesan untuk mengurangkan ketirisan cukai ke tahap optimum untuk kebaikan dan kemakmuran negara,” katanya ketika menyampaikan sembah ucapan pada Majlis Perasmian Menara Hasil Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Teluk Intan, di sini ,hari ini.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat merasmikan menara berkenaan pada majlis itu.

Turut berangkat Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin.

Lim berkata Kementerian Kewangan di bawah Kerajaan MADANI sentiasa mendepani usaha memakmurkan ekonomi dan mensejahterakan negara, khususnya melalui pelaksanaan dasar fiskal serta tadbir urus sistem percukaian yang cekap dan mampan.

Menurutnya, “Shadow Economy” (Ekonomi Bayangan) telah lama dikenal pasti sebagai antara penyumbang kepada ketirisan cukai yang kritikal setiap tahun.

“Dianggarkan saiz ekonomi bayangan di Malaysia adalah sekitar 21 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

“Antara usaha untuk mengatasi virus ekonomi bayangan ini yang telah merebak ke seluruh negara dalam pelbagai industri adalah dengan pengenalan e-invois.

“(E-invois) diperkenalkan oleh kerajaan melalui kenyataan Pra Belanjawan 2023 pada 3 Jun, 2022 dan diperkenalkan secara berperingkat bermula 1 Ogos 2024 (Fasa pertama),” katanya.

E-Invois merupakan invois dalam format digital representasi yang mengandungi maklumat transaksi antara penjual dan pembeli termasuk maklumat sedia ada seperti jenis barang, kuantiti, harga, jumlah yang perlu dibayar, maklumat cukai dan sebagainya.

Semua pembayar cukai di Malaysia yang menjalankan aktiviti komersial diwajibkan untuk melaksanakan e-Invois dengan garis masa pelaksanaan yang berbeza bergantung pada pendapatan atau jualan tahunan.

-- BERNAMA