BERITA TERKINI   MOT laksana larangan pemanduan kenderaan barangan dan logistik mulai 19, 20, 28 dan 29 Mac sempena Aidilfitri | Harga minyak mentah global kini melebihi US$100 setong, Kerajaan kekal RON95 bersubsidi RM1.99 seliter - Kementerian Kewangan | Gas Malaysia akan bangunkan terminal LNG Yan selepas kelulusan Suruhanjaya Tenaga | Ringgit meningkat kepada 3.9145/9205 berbanding dolar AS semasa ditutup hari ini, daripada 3.9155/9200 pada Selasa | Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat di Pulau Pinang adalah persinggahan sementara bagi urusan logistik- Khaled Nordin | 

Bursa Malaysia Tegur Secara Terbuka, Denda Pengarah Iqzan Holding

KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia Securities Bhd membuat teguran secara terbuka terhadap Iqzan Holding Bhd dan lima pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama.

Dalam satu kenyataan hari ini, Bursa Malaysia Securities berkata syarikat itu telah melakukan pelbagai pelanggaran, termasuk gagal mendapatkan kelulusan pemegang saham untuk pelupusan hartanah perindustrian dan menyediakan pendedahan yang tidak tepat serta mengelirukan berhubung penjualan saham dalam anak syarikat milik penuhnya, Zoomic Technology (M) Sdn Bhd (ZTSB).

“Pelanggaran itu melibatkan pelupusan hartanah yang tidak mengikut peraturan di mana syarikat gagal mendapatkan kelulusan daripada pemegang saham untuk penjualan dua lot perindustrian pegangan pajakan yang bersebelahan di Bayan Lepas, Pulau Pinang yang dimuktamadkan pada 15 Nov, 2023.

“Selain itu, Iqzan Holding telah secara tidak tepat menerangkan kesan kewangan dan nisbah peratusan pelupusan saham ZTSB dalam pengumuman bertarikh 8 Ogos dan 10 Ogos, 2023.

"Ia juga gagal mendedahkan perjanjian bersyarat yang menjejaskan urus niaga dengan serta-merta dan tidak membuat pengumuman tepat pada masanya apabila memindahkan saham pada 15 Ogos, 2023," katanya.

Bursa itu berkata walaupun telah dinyahsenarai pada 30 Julai, 2024, pelanggaran berkenaan berlaku semasa syarikat itu masih disenaraikan di Bursa Malaysia Securities.

Ia juga telah mengenakan denda antara RM300,000 hingga RM375,000 ke atas lima pengarah, yang mana Norman Zainuddin (pengarah eksekutif), Datuk Ong Chek Chai (pengarah bukan bebas bukan eksekutif, ahli jawatankuasa audit), dan Chua Yeong Lin (pengarah bukan eksekutif bebas, pengerusi jawatankuasa audit) masing-masing dikenakan denda sebanyak RM375,000.

Semantara itu, Kunamony S Kandiah (pengarah bukan eksekutif bebas, ahli jawatankuasa audit) dan Cheah Ban Seng (pengarah bukan eksekutif bebas) masing-masing didenda RM300,000.

Bursa Malaysia Securities berkata penemuan pelanggaran dan pengenaan penalti dibuat di bawah perenggan 16.19 Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama setelah selesai proses sewajarnya dan selepas mengambil kira semua fakta mengenai kepentingan dan kesan pelanggaran, serta tingkah laku dan tanggungjawab para pengarah.

“Bursa Malaysia Securities memandang serius pelanggaran itu kerana pendedahan maklumat material yang tepat, penuh dan lengkap pada masanya membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan termaklum yang amat penting dalam memastikan pasaran yang teratur dan adil bagi sekuriti yang didagangkan di Bursa Malaysia Securities serta mengekalkan integriti pasaran dan keyakinan pelabur.

"Bab 10 Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama juga berfungsi untuk melindungi hak pemegang saham untuk dimaklumkan dan meluluskan transaksi material yang boleh mempengaruhi kepentingan mereka," tambahnya.

-- BERNAMA