BERITA TERKINI   Konflik Timur Tengah: 24,568 rakyat Malaysia telah berdaftar menerusi sistem e-Konsular setakat 7 Mac - Wisma Putra | Liga Super: Negeri Sembilan FC 3-3 Penang FC | Liga Super: Kuala Lumpur City FC 2-1 Melaka FC | Konflik Timur Tengah: 24,568 rakyat Malaysia telah berdaftar untuk dibawa pulang menerusi sistem e-Konsular setakat 7 Mac - Wisma Putra | Liga Super: Kuching City FC 2-0 Sabah FC | 

DeepSeek Berupaya Pacu Penerimagunaan AI Di Malaysia, Tarik Pelabur Global - Fadillah

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- DeepSeek menawarkan peluang baharu kepada pelabur kewangan yang berhasrat menyokong perkembangan selanjutnya perniagaan dipacu kecerdasan buatan (AI) di Malaysia yang tidak terbatas hanya kepada teknologi, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

DeepSeek adalah syarikat AI China yang meraih perhatian segera berikutan langkahnya membangunkan model bahasa AI lanjutan dan penyelesaian perniagaan.

“Dengan mengurangkan cabaran kepada penerimagunaan AI, DeepSeek mengupaya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menyepadukan penyelesaian AI dalam operasi mereka, meningkatkan produktiviti dan daya saing global,” katanya dalam ucaptama pada Forum AI Pan Pasifik Malaysia - Pelaburan dan AI dalam Dunia yang Berubah di sini hari ini.

Beliau menekankan bahawa walaupun teknologi merupakan pemacu kemajuan, modal adalah pendorong yang menggerakkannya ke hadapan.

“Malaysia telah sekian lama menjadi destinasi pilihan bagi pelabur antarabangsa dan kami komited untuk memperkukuh kedudukan kami sebagai hab pelaburan global.

“Agenda pendigitalan kami telah menarik syarikat gergasi teknologi global utama, dengan Oracle, Microsoft, Google dan Amazon secara kolektif komited untuk melabur US$14.7 bilion. Perkongsian strategik ini membuktikan potensi Malaysia sebagai ekonomi digital terkemuka di Asia Tenggara,” kata Fadillah.

Forum AI Pan Pasifik Malaysia menghimpunkan wakil kerajaan, perniagaan, masyarakat dan pemimpin agensi, perniagaan serta perusahaan dalam industri AI.

Forum ini membincangkan mengenai pasaran baharu, isu undang-undang dan dasar, aliran politik dan ekonomi, teknologi baharu, perspektif pengguna teknologi maklumat dan komunikasi dan peluang perniagaan dalam pasaran global.

Pada tahun ini, forum berkenaan memfokuskan perbincangan mengenai AI dan aspek berkaitan.

-- BERNAMA