BERITA TERKINI   Liga Super: KL City 0-4 JDT | Dividen operasi Felcra bagi tahun kewangan 2025 ditetapkan 15 peratus, dibayar awal tahun depan - TPM Ahmad Zahid | Sukan SEA 2025: Malaysia raih pingat emas acara Mobile Legends Bang-Bang (MLBB) wanita | Rombakan Kabinet: Kerajaan mahu beri peluang kepada pemimpin muda untuk memimpin - PM Anwar | Tumpuan saya tahun depan adalah untuk meneruskan reformasi negara dan menyelesaikan masalah penduduk - PM Anwar | 

Kerajaan Akan Laksana Kadar Caruman KWSP 2 Peratus Bagi Pekerja Asing - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) --  Kerajaan bercadang melaksanakan kadar caruman mandatori Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak dua peratus kepada pekerja asing, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kadar itu lebih rendah berbanding cadangan awal sebanyak 12 peratus. 

“Tetapi ada yang bimbang ia akan meningkat, bermula pada 2.0 peratus kemudian naik kepada 4.0 peratus dan 6.0 peratus. 

“Ia bukan begitu. Kita kekalkannya pada 2.0 peratus, yang mana sangat minimum,” kata Anwar semasa menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), di sini, hari ini.

Beliau berkata cadangan itu akan dibincangkan di mesyuarat Kabinet minggu ini dan Kementerian Sumber Manusia akan mengumumkan butiran terperincinya.

Semasa pembentangan Belanjawan 2025, Anwar mengumumkan cadangan untuk mewajibkan semua pekerja bukan warganegara mencarum kepada KWSP dan akan memberikan layanan yang adil kepada semua pekerja tanpa mengira kewarganegaraan.

“Cadangan ini akan dilaksanakan secara berperingkat,” kata beliau pada Dewan Rakyat semasa pembentangan tersebut.

Susulan itu Kementerian Kewangan mencadangkan kadar caruman KWSP diseragamkan untuk rakyat Malaysia dan warga asing dengan kontrak pekerjaan baharu.

Ini bermakna pekerja akan menyumbang 11 peratus manakala majikan menyumbang 12-13 peratus.

Sebelum ini, Kementerian Kewangan mencadangkan kadar caruman untuk pekerja asing dan majikan dengan kontrak sedia ada bermula pada 2.0 peratus dan meningkat secara berperingkat dalam tempoh enam tahun sehingga ia mencapai kadar caruman KWSP untuk pekerja Malaysia.

-- BERNAMA