BERITA TERKINI   Penerbitan bon lestari dijangka meningkat susulan pertumbuhan pesat pusat data – Moody’s Ratings | Peralihan MyBorderPass dan MyDigitalID kepada sistem MyNIISe akan diperluas secara berperingkat di pintu masuk negara bermula tahun ini - Saifuddin Nasution | Pendaftaran murid Tahun 1 bagi sesi 2027 dilaksana secara dalam talian bermula 15 Feb hingga 31 Mac - KP Pendidikan | Pimpinan tinggi agensi penguatkuasaan diberi tempoh seminggu nyata kesediaan pikul amanah atau tukar ke jawatan lain - PM Anwar | PM Anwar beri amaran keras kepada pihak berkuasa, kesal masih wujud kelemahan tatakelola dalam negara | 

Institusi Tempatan Sokong Bursa Malaysia Untuk Minggu Ke-14

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Institusi tempatan meneruskan sokongan mereka kepada Bursa Malaysia untuk minggu ke-14 berturut-turut, mencatatkan belian bersih sebanyak RM551.6 juta, menurut MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF).

Ini lebih rendah daripada belian bersih pada minggu sebelumnya sebanyak RM797.8 juta.  

Dalam Laporan Aliran Dana pada minggu berakhir 24 Januari, MIDF berkata institusi tempatan mengekalkan belian bersih selama 46 hari dagangan berturut-turut.

Pelabur runcit tempatan turut meneruskan trend belian mereka di Bursa Malaysia untuk minggu ketiga berturut-turut walaupun dengan belian bersih yang lebih kecil sebanyak RM149.9 juta dalam ekuiti.  

“Purata jumlah dagangan harian (ADTV) merosot secara keseluruhannya pada minggu lepas. Pelabur asing menyaksikan penurunan sebanyak 13.6 peratus manakala institusi tempatan dan pelabur runcit, masing-masing merosot sebanyak 8.7 peratus dan 5.5 peratus,” katanya.  

Menurut MIDF, pelabur asing terus menjual ekuiti di bursa tempatan untuk minggu ke-14 berturut-turut, walaupun aliran keluar susut kepada RM701.4 juta daripada RM1.33 bilion pada minggu sebelumnya.  

Pelabur asing merupakan penjual bersih pada setiap hari dagangan, dengan aliran keluar terbesar sebanyak RM300.5 juta pada Jumaat. Aliran keluar harian daripada RM23.2 juta hingga RM169 juta.  

“Tiga sektor utama dengan aliran masuk asing bersih ialah perkhidmatan kewangan (RM33.8 juta), telekomunikasi dan media (RM8.9 juta) dan amanah pelaburan hartanah (RM4.6 juta).  

“Sebaliknya, tiga sektor utama dengan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah utiliti (RM222.4 juta), pembinaan (RM162 juta) dan hartanah (RM112.9 juta),” katanya. 

-- BERNAMA