BERITA TERKINI   Isu penangguhan LRT3: Prasarana akan berjumpa kontraktor utama minggu depan untuk menentukan jangka masa seterusnya - Loke | Bilangan gangguan perkhidmatan rel Prasarana berkurangan kepada 31 pada 2025 berbanding 71 pada 2024 - Loke | Prasarana catat 1.63 juta perjalanan penumpang harian pada 31 Dis lepas, tertinggi dalam sejarah penubuhannya - Loke | Mahkamah Buruh Bergerak akan beroperasi di Semenanjung Malaysia bermula Ogos ini - Ramanan | Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja dan Jabatan Perhubungan Perusahaan akan digabung bagi selaras fungsi - Ramanan | 

Ringgit Dibuka Tinggi Berbanding Dolar AS

Oleh Karina Imran dan Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS berikutan pelabur kekal berhati-hati disebabkan inflasi yang lebih tinggi daripada jangkaan dan menjelang kemas kini dasar bank pusat global.

Pada 8 pagi, ringgit meningkat kepada 4.4320/4480 berbanding dolar AS daripada 4.4420/4465 semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata sentimen untuk Indeks Dolar AS (DXY) rendah berikutan tuntutan pengangguran awal minggu lepas yang meningkat kepada 223,000 berbanding anggaran konsensus sebanyak 221,000.

“Keutamaan yang jelas untuk penurunan kadar faedah oleh Presiden AS Donald Trump dalam ucapannya di Forum Ekonomi Dunia (WEF) tidak mengejutkan.

“Ini akan menjadikan tugas Rizab Persekutuan (Fed) AS lebih mudah berikutan bank pusat AS telah melaksanakan pelonggaran monetari sejak September lepas. Ia adalah mengenai tempoh dan tahap penurunan kadar faedah,” katanya kepada Bernama. 

Oleh itu, Mohd Afzanizam percaya peniaga dan pelabur akan kekal berhati-hati dan beliau menjangka dolar AS berbanding ringgit akan berada pada sekitar RM4.44 hingga RM4.45 hari ini.

Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia tinggi berbanding yen Jepun kepada 2.8388/8495 daripada 2.8429/8461 pada Khamis, meningkat berbanding euro kepada 4.6155/6321 daripada 4.6246/6293, bagaimanapun merosot berbanding pound kepada 5.4735/4933 daripada 5.4703/4759.

Mata wang tempatan turut mengukuh berbanding mata wang ASEAN.

Ia meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 272.1/273.2 daripada 272.7/273.1 semalam, mengukuh berbanding peso Filipina kepada 7.55/7.58 daripada 7.57/7.58, naik berbanding baht Thailand kepada 13.0250/0835 daripada 13.0582/0779 dan tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.2648/2776 daripada 3.2734/2770.

-- BERNAMA