BERITA TERKINI   Kira-kira 60 peratus kawasan penyimpanan lori dan minyak enjin lori di Taman Kota Puteri musnah terbakar, tiada mangsa terlibat - Bomba Johor | Malaysia akan perluas pasaran minyak sawit ke negara yang belum pernah jadi pembeli - Johari | Pemeriksaan kesihatan sebahagian komitmen PM untuk pastikan beliau kekal cergas terajui pentadbiran negara - Pengarah Hospital Serdang | PM Anwar jalani pemeriksaan kesihatan tahunan, kesihatan berada dalam keadaan sangat baik - Pengarah Hospital Serdang | Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di tujuh negeri serta Labuan sehingga 5 petang ini - MetMalaysia | 

Pelbagai Sektor Bakal Raih Sinergi, Pulangan Lumayan Daripada WEF - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Sektor pendidikan, pelaburan, perdagangan, kecerdasan buatan (AI), tenaga, digital antara yang bakal meraih sinergi secara langsung dan pulangan lumayan daripada Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata WEF 2025 juga menjadi platform untuk memperkukuh hubungan bilateral serta kerjasama antara Malaysia dan pihak berkaitan.

“WEF ini diadakan untuk mempertemukan pimpinan negara secara formal dan juga santai menerusi mesyuarat dua hala, sela-sela, sidang utama dan lain-lain lagi yang pastinya memberi impak positif dan pengalaman berguna untuk dibawa pulang.

“Saya panjatkan kesyukuran kepada Yang Maha Esa kerana Malaysia mendapat layanan dan pengiktirafan di atas kehadiran kali ini,” katanya dalam catatan di Facebook, hari ini.

Sementara itu, dalam hantaran berasingan, Anwar berkata di sebalik semangat mengejar perubahan arus teknologi dunia dan kepesatan ekonomi, faktor keamanan sejagat merentasi benua perlu diambil kira bagi terus mengekalkan kestabilan dunia.

Perdana Menteri menyatakan bahawa beliau telah menekankan isu tersebut dalam ucapan pada Sesi Awam Peringkat Tinggi: Pleno ASEAN bertajuk "Even Stronger Together" di WEF 2025.

“Poin kritikal itu perlu diberi perhatian serius mana-mana negara, blok mahu pun kesatuan jika ingin memastikan kehadiran pelabur terus rancak menghangatkan peluang perdagangan yang ada.

“Saya turut memberikan contoh dan pandangan mengenai situasi di Myanmar, di mana lebih banyak libat urus di pelbagai lapisan dan pihak berkaitan, perlu diadakan bagi memastikan kestabilan dan keamanan benua ASEAN terus dipelihara,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menghadiri WEF 2025 buat kali pertama sebagai Perdana Menteri sejak mengambil alih pentadbiran pada 2022 atas jemputan Pengasas dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah WEF Prof Klaus Schwab.

WEF 2025, yang berlangsung bermula 20 Jan lepas diadakan di Davos, Switzerland.

-- BERNAMA